ISN Sedia Program Pemulihan Percuma Buat Faisal Halim
Hafiz Omar
Agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu Institut Sukan Negara (ISN) sedia memberikan rawatan pemulihan secara percuma kepada penyerang sayap skuad kebangsan dan Selangor FC, Faisal Halim.
Faisal atau terkenal dengan panggilan Mickey kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital susulan disimbah dengan asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Lembah Klang pada Ahad lalu.
Beberapa pembedahan juga telah dilakukan ke atas pemain berusia 26 tahun kelahiran Pulau Pinang sejak dimasukkan ke hospital.

Pemakluman pemberian rawatan pemulihan secara percuma oleh ISN yang turut mendapat pengiktirafan sebagai AFC Medical Centre of Excellence kepada Faisal disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.
Baca: PPUM Dapat Pengiktirafan AFC Medical Centre of Excellence – Keempat Di Malaysia
“ISN merupakan AFC Medical Centre of Excellence, jadi kepakaran kami dalam sports science (sains sukan) dan sport medicine (perubatan sukan) menjurus kepada bola sepak juga,” katanya ketika ditemui para pengamal media, semalam.
“Dalam hal ni kita akan sediakan satu program berstruktur, yang personalize (khas) untuk Faisal Halim kembali ke bola sepak nantilah, ia meliputi perkhidmatan fisioterapi, latihan fisiologi, strength and conditioning, psikologi dan nutrisi,”
“Kita masukkan elemen-elemen ini, buatkan secara berstruktur untuk beliau kembali dalam latihan bola sepak,” jelasnya lagi.

Baca: ISN Wujudkan Perkhidmatan Klinik Kesihatan Khusus Untuk Atlet Wanita
Sementara itu, Hannah menasihati Faisal agar menumpukan tumpuan terhadap rawatan dan tidak terlalu memikirkan mengenai karier bola sepaknya buat masa ini.
“Saya nak beliau tahu bahawa beliau betul-betul dihargai bukan sahaja oleh kerajaan tetapi semua rakyat mendoakan (agar) beliau cepat sembuh,” ujar Hannah.