Kerjasama Harimau Malaya & Malaysia Airlines Dilanjutkan Sehingga Hujung 2026
May 30, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan iaitu Harimau Malaya nampaknya akan terus terbang bersama syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines sehingga ke penghujung 2026.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah memperbaharui kerjasamanya selain mengangkat syarikat penerbangan terbabit selaku penaja utama skuad Harimau Malaya serta FAM.

Perjanjian penajaan sebagai penaja utama Harimau Malaya dan FAM itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula dari Januari 2024 hingga Disember 2026.

Baca: KBS, MAG Bekerjasama Tawar Diskaun Tiket Penerbangan Sehingga 20% Bagi Atlet Sukan

Majlis pengumuman serta tandatangan penajaan itu telah dilangsungkan di Hotel Sama-Sama, KLIA Sepang pada Isnin lalu.

Dokumen perjanjian itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Komersil Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran sambil disaksikan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd. Azmi.

Sebagai rekod, Malaysia Airlines telah menyokong perjalanan skuad Harimau Malaya sejak tahun 2018 lagi sebelum ianya diperbaharui pada tahun 2020 bagi tempoh tiga tahun lagi.

Komen