Pendatang baharu saingan Liga A1 Semi-Pro (dahulunya dikenali sebagai Liga M3), Gombak FC merupakan salah satu kelab yang mengambil peluang menggunakan khidmat pemain import bagi mengharungi saingan musim 2024-25.
Penganjur iaitu Amateur Football League (AFL) membenarkan setiap kelab menandatangani dua orang pemain import secara bersyarat dan Gombak FC memenuhkan kuota tersebut dengan dua pemain dari Brazil.
Baca: Pasukan Liga M3 Boleh Guna 2 Pemain Import – Yusoff Mahadi
Dua pemain tersebut berusia 21 tahun masing-masing iaitu pertahanan, Vinicius Vicente do Amaral serta penyerang, Patrik Yudi Gosalves Majeski.
Manakala kalangan pemain tempatan pula dikuatkan dengan pemain yang pernah beraksi dalam kancah Liga Super seperti Firdaus Azizul, Isa Raman, Saiful Ridzuan Selamat, Danish Haziq, Gerald Gadit, Sukri Hamid dan beberapa nama lain lagi dengan purata umur pemain antara 26 hingga 27 tahun.
Kelab ini mendapat bimbingan bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam yang kini memiliki Lesen A FAM sambil dibantu Fadhil Mohd. Hashim (penolong ketua jurulatih), Shahffuwan Hafizi (penolong jurulatih), Solehin Abdul Wahab (jurulatih penjaga gol) dan Naim Mazlan (jurulatih kecergasan).
Presiden Gombak FA, Muadzam Mohamed Shariff menyatakan kelab ini diletakkan dua sasaran untuk dicapai pada musim ini iaitu mendapatkan slot ke saingan Piala Malaysia 2024-25 serta berusaha untuk layak ke saingan Liga Super 2025-26.
Featured Image: Gombak FC