Penjaga gol yang memenangi kejuaraan Piala AFF (kini dikenali sebagai Piala ASEAN) sebanyak tiga kali bersama skuad kebangsaan Thailand iaitu Kawin Thamsatchanan mengumumkan persaraannya pada usia 34 tahun.
Perkara itu diumumkannya semalam menerusi platform media sosial peribadinya, sehari selepas beraksi pada perlawanan akhir Piala Liga Thailand mewakili kelabnya, Muangthong United menentang BG Pathum United di Stadium Thammasat pada Ahad.
Bagaimanapun, perlawanan terakhirnya itu berakhir dengan kekalahan tipis 0-1 hasil jaringan Teerasil Dangda pada minit 90+8 sekaligus terlepas peluang untuk menjulang trofi buat kali terakhir sebelum menggantung sarung tangannya.
Sebagai rekod, persaraannya itu diumumkannya selepas 17 tahun bergelar sebagai pemain bola sepak profesional.

Baca: Thailand Pasukan No.1 Asia Tenggara, Vietnam Jatuh 12 Anak Tangga
Sepanjang tempoh itu, Kawin beraksi sekitar 13 tahun bersama Muangthong United bagi dua tempoh yang berbeza selain beraksi di kelab berpangkalan di luar negara, OH Leuven (Belgium) dan Hokkaido Consadole Sapporo (Jepun).
Bersama skuad kebangsaannya atau Gajah Perang, Kawin berhasil melakukan lebih daripada 69 kali penampilan termasuk menentang skuad senior Malaysia serta skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23).
Paling diingati adalah penampilannya ketika mempertahankan gawang Thailand semasa separuh akhir Piala AFF 2012 dan perlawanan akhir Piala AFF 2014.
Sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, Kawin telah menjulang empat kejuaraan Liga Thai 1, kejuaraan Liga Thai 2, Piala Liga serta pingat perak Sukan SEA bersama skuad Thailand B-23 selain tiga trofi Piala AFF.
Featured Image: Muangthong United