‘Road Bike’ Pertama Malaysia Inspirasi WX-R Vortex Setanding Basikal Lain – Dr. Aid Fawzal
June 18, 2024 Hafizuddin Omar

Basikal jalan raya pertama Malaysia ciptaan syarikat pemula tempatan, Bozetta Bike Malaysia bakal setanding dengan basikal-basikal jalan raya yang lain dalam pasaran daripada sudut aerodinamiknya.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Pakar Pergerakan Bendalir & Pemindahan Haba, Dr. Aid Fawzal pada hari ini setelah melihat sendiri hasil uji kaji aerodinamik prototaip pertama syarikat berkenaan yang bernama FZ8 dalam terowong angin di Silverstone Engineering Hub, United Kingdom (UK) pada Selasa minggu lalu.

Penghantaran prototaip FZ8 untuk uji kaji dalam terowong angin berkenaan dilakukan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN).

“Hasil ujian sangat memberangsangkan.” katanya dengan penuh keyakinan selepas melihat data-data aerodinamik Bozetta FZ8 – yang baru sahaja dibangunkan dalam tempoh kurang daripada dua tahun – menerusi platform media sosialnya.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai basikal berkenaan, beliau berkata Bozetta FZ8 tersebut diinspirasikan daripada basikal trek, WX-R Vorteq yang merupakan produk pembangunan melalui penyelidikan dan pembangunan ISN.

Seperti ramai ketahui, WX-R Vorteq digunakan oleh atlet-atlet berbasikal trek negara terutamanya Datuk Azizulhasni Awang untuk beraksi di Sukan Olimpik serta kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Baca: Azizul, Shah & Izzah Dapat Basikal WX-R Vortex Edisi Baharu Ke Sukan Olimpik

Sepertimana WX-R Vorteq, Dr. Aid berkata pembinaan kerangka Bozetta FZ8 adalah daripada gentian karbon gred tinggi dengan penggunaan komposit yang berbeza-beza pada setiap sudut kritikal.

“Ini bertujuan supaya kekakuan (stiffness) kerangka berbanding ketegaran (rigidity) dapat diseimbangkan.”

“Dengan itu, basikal FZ8 mampu memberikan komunikasi yang baik antara penunggang dengan basikal serta tetap mengekalkan daya pada setiap kayuhan sampai terus ke permukaan jalan,

Tambahnya lagi, selain daripada rasa (feeling) dan maklum balas (feed back) antara penunggang dengan basikal, kemampuan basikal untuk membelah angin juga penting.

“Basikal yang terlalu tinggi rintangan angin memerlukan lebih banyak tenaga pada setiap kayuhan; ini meletihkan. Kerana itulah, kajian aerodinamik untuk ‘road bike’ sangat penting.” katanya lagi.

Menerusi laman sesawang rasmi Bozetta, selain FZ8, mereka juga sedang mengusahakan model FZ88 dengan sasaran untuk melancarkan kedua-dua model terbabit pada temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris kelak.

Untuk makluman semua, Nur Aisyah Mohamad Zubir menjadi atlet berbasikal tunggal yang dinamakan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mewakili Kontinjen Malaysia bagi beraksi dalam acara jalan raya lepas beramai-ramai pada Sukan Olimpik yang berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.

Featured Image: Facebook Dr. Aid Fawzal

Komen