Pasukan futsal yang berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Pahang Rangers FC terpaksa mencari ketua jurulatih baharu selepas berakhirnya saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2024.
Ini berikutan ketua jurulatihnya, Gerard Casas telah memutuskan untuk meninggalkan skuad berjulukan Tok Gajah tersebut selepas selesainya saingan liga musim ini bagi meneruskan karier di negara kelahirannya iaitu Sepanyol.
“Ini adalah keputusan peribadi yang saya percaya adalah yang terbaik untuk kerjaya saya dan sudah tiba masanya untuk saya kembali ke negara asal saya.” kata jurulatih berusia 35 tahun terbabit.
Baca: Juanito Kelahiran Sepanyol Menjadi Pengendali Pertama Skuad Futsal JDT
“Masih ada masa untuk mengucapkan selamat tinggal dan penjelasan tentang meninggalkan Pahang, yang saya anggap dan akan sentiasa menjadi rumah saya, tetapi liga masih belum tamat.”
“Kita masih mempunyai 7 lagi perlawanan untuk berjuang bersama untuk para penyokong dan kelab yang hebat ini.” tambahnya lagi sepertimana dikongsikan sendiri oleh pihak kelab menerusi pelbagai platform media sosial.
Pada saat ini, Pahang Rangers sedang berada di tangga kedua liga, 16 mata, mengekori Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak liga dengan 21 mata.
Untuk makluman semua, pada musim lalu, Gerard berjaya memimpin Pahang Rangers muncul juara berganda dalam kancah futsal domestik dengan merangkul kejuaraan MPFL dan Piala Futsal Malaysia (MFC).
Featured Image: Pahang Rangers FC