Lepas Ini… Suruh Sultan Tulis Surat Murka Aja – Pemilik JDT
June 28, 2024 Hafizuddin Omar

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail meluahkan keluhan selepas Malaysian Football League (MFL) mempertimbangkan semula hukuman ke atas Selangor FC ekoran tidak hadir ke perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah bersekali dengan perlawanan pertama Liga Super 2024-25 menentang kelabnya di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10hb Mei lalu.

Keluhan Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor itu dizahirkan selepas MFL membuat pertimbangan semula sebagai menjunjung dan menghormati titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga penaung Selangor FC.

Hasil daripada pertimbangan semula itu, MFL mengurangkan denda kepada Selangor FC daripada RM100,000 menjadi RM60,000 serta membatalkan hukuman potongan tiga mata dan beraksi perlawanan Liga Super Ke-14 di Stadium MBPJ menentang JDT tanpa kehadiran penonton.

“Lepas ini yang mana kelab tak bayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang-undang liga, suruh Sultan tulis surat murka aja senang.”

“Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL tarik balik hukuman dengan mohon jasa Tuanku Sultan masing-masing keluar surat.”

Baca: ALP MFL Kurangkan Denda Selangor FC, Hormat Titah Sultan Selangor

“Ini akan bermula satu ‘precedent’ dimana selepas ini Tuanku Sultan yang lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tak boleh.” kongsinya menerusi Instagram peribadi sebelum disiarkan oleh pelbagai platform media sosial skuad berjulukan Harimau Selatan itu menghampiri tengah malam tadi.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail juga memaklumkan kelabnya serta dirinya sendiri juga pernah dikenakan hukuman serta denda baik daripada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun MFL.

“JDT dari 2013 kena denda beratus ribu, saya kena ‘banned’ 6 bulan, tak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan.”

“Ini siap mengungkit beri pingat Datuk. MFL buat u-turn tanpa surat rayuan. Yang memekak hentam MFL baik puji MFL sekarang.”

“Tuan-tuan dan puan-puan, I present to you The Real Tokong of Malaysian Football.” tambah baginda yang juga pernah menjawat jawatan Presiden FAM dan Pengerusi MFL.

Featured Image: Facebook HRH Crown Prince of Johor

Komen