MOM, Yonex Akan Berbincang Tambah Baik Rekaan Jaket Kontinjen Malaysia – Norza Zakaria
June 28, 2024 Hafizuddin Omar

Jaket yang akan digunakan oleh atlet-atlet negara di temasya Sukan Olimpik 2024 kelak akan ditambah baik oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria selepas akur bahawa reka bentuk jaket rasmi itu tidak diterima dengan baik terutamanya dalam kalangan peminat sukan tanh air. 

“Selepas mengambil kira maklum balas daripada semua pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan para peminat sukan negara, MOM akur bahawa reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.”

Baca: Norza Letak Jawatan Presiden BAM – 2 Minggu Selepas Sukan Olimpik

“Oleh yang demikian, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang.”

“MOM akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat jelata.” 

“Sesungguhnya MOM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan yang membina.” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

Sebagai rekod, Yonex merupakan penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia sejak 2014.

Corak dan reka bentuk serta motif pakaian dikeluarkan pada setiap kitaran baharu penajaan MOM, kebiasaannya bermula daripada Sukan SEA dan berakhir di Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dipakai sehingga Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Untuk kitaran seterusnya, reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia akan digunakan bermula dengan Sukan SEA 2025 di Thailand sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Featured Image: Majlis Olimpik Malaysia

Komen