Penggunaan warna emas pada bendera Malaysia pada pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 mengundang kritikan yang bertalu-tali khususnya daripada orang ramai kerana dikatakan menghina bendera yang juga dinamakan sebagai Jalur Gemilang itu.
Bagaimanapun, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.
Pertamanya, beliau menerangkan bahawa logo yang memaparkan bendera Malaysia yang sedang berkibar bersama lima gegelung Olimpik pada pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 adalah logo rasmi MOM.
“Ia bukanlah bendera Malaysia atau Jalur Gemilang yang dipinda atau diubah suai sesuka hati.” katanya.
Menurut Norza yang juga merupakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terdapat dua versi warna yang boleh digunakan untuk logo MOM mengikut garis panduan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) iaitu polychrome dan monochrome.
Versi polychrome atau versi lima warna adalah versi yang memaparkan gegelung dalam warna biru, kuning, hitam, hijau dan merah dari kiri ke kanan. Gegelung biru, hitam dan merah berada di sebelah atas manakala kuning dan hijau pula di sebelah bawah bersama kibaran bendera Malaysia dalam warna asalnya di bahagian atas gegelung.
Versi monochrome pula merupakan versi satu untuk keseluruhan warna kibaran bendera Malaysia serta gegelung Olimpik terbabit.
Jelas Norza, versi lima warna hanya boleh digunakan pada latar belakang putih mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh IOC.
Baca: MOM, Yonex Akan Berbincang Tambah Baik Rekaan Jaket Kontinjen Malaysia – Norza Zakaria
Manakala sekiranya latar belakang yang digunakan adalah selain daripada warna putih, versi monochrome mesti digunakan.
“Sebagai contoh jika latar belakang hitam, logo (MOM) hendaklah digunakan dengan warna kontra satu warna sahaja seperti putih, kuning atau biru.”
“Oleh demikian, versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpik menepati garis panduan IOC.” jelasnya lagi.
Norza turut memberikan pencerahan tambahan bahawa pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 menggunakan tema dan logo MOM berwarna emas digabungkan dengan latar belakang berwarna hitam dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi Kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama buat Malaysia.