Selepas hampir dua hari dilancarkan, Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang bertujuan untuk memberikan ruang kepada rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan dukungan kepada Selangor FC kini telah mengumpul dana sebanyak RM34,357.15 setakat jam 12.00 tengah hari tadi.
Jumlah sumbangan yang terkumpul yang diterima oleh tabung berkenaan diumumkan sendiri oleh Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, YB Mohd. Najwan Halimi menerusi platform media sosial peribadinya.
“Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC,” ujarnya.
Terdahulu, tabung tersebut dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) susulan daripada keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) ke atas Selangor FC.
Ianya juga sebagai menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kapekaan baginda terdahap pelbagai isu dan ketidakadilan yang sedang dihadapi oleh Selangor FC – kelab yang dinaungi oleh Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.
Pada Selasa lalu (25hb Jun), MFL memberikan empat hukuman ke atas Selangor FC ekoran tidak hadir ke perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah bersekali dengan perlawanan pertama Liga Super 2024-25 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Empat hukuman tersebut adalah denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kepada JDT dan MFL, pemotongan 3 mata daripada saingan Liga Super 2024-25 dan beraksi pada perlawanan Liga Super ke-14 di Stadium MBPJ tanpa kehadiran penyokong.
Namun begitu, pada Khamis (27hb Jun), MFL bertindak menggunakan budi bicaranya membuat pertimbangan semula terhadap hukuman-hukuman tersebut sebagai menghormati titah Sultan Sharafudin.
Baca: ALP MFL Kurangkan Denda Selangor FC, Hormat Titah Sultan Selangor
Pertimbangan semula itu menyaksikan dua hukuman iaitu pemotongan 3 mata dan beraksi tanpa penyokong dibatalkan. Manakala denda wang tunai pula dikurangkan menjadi RM60,000 sahaja namun hukuman bayaran pamapasan kepada JDT dan MFL dikekalkan.
Untuk makluman semua, sumbangan duit yang dibuat ke dalam tabung berkenaan akan diserahkan MSNS kepada pihak Selangor FC bagi membantu mereka menyelesaikan hukuman yang dikenakan ke atas skuad berjulukan Red Giants tersebut.