Bekas Penjaga Gol EPL, Neil Etheridge Sertai Kelab Dion Cools
July 1, 2024 Hafizuddin Omar

Penjaga gol yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), Neil Etheridge dan pemain skuad kebangsaan berdarah campuran Malaysia-Belgium iaitu Dion Cool kini menjadi rakan sepasukan di Buriram United.

Perkembangan ini hadir selepas kelab gergasi bola sepak Thailand yang merangkul kejuaraan Liga Thai 1 itu mengumumkan menandatangani penjaga gol berusi 34 tahun terbabit untuk mengharungi saingan bola sepak Thailand, Piala Shopee dan Liga Juara-Juara Elit AFC 2024-25.

Pengumuman itu hadir menerusi pemberitahuan di pelbagai platform media sosialnya, semalam.

View this post on Instagram

A post shared by BURIRAM UNITED (@buriramunitedofficial)

Baca: Buriram United Perkenalkan Dion Cools Sebagai Pemain Baharu

Menerusi pengumuman itu juga, Etheridge kelahiran England yang mempunyai darah Filipina itu diberikan jersi bernombor 13 untuk disarung sepanjang bersama skuad berjulukan Thunder Castle tersebut.

Sebagai rekod, pengalaman Etheridge beraksi dalam kancah EPL hadir ketika bersama Cardiff City pada musim 2018-19.

Pada musim tersebut, Etheridge beraksi dalam kesemua perlawanan bersama Cardiff City yang berjulukan The Bluebirds tersebut.

Malangnya, Cardiff City menamatkan saingan musim itu di tempat ke-18 sekaligus terpaksa disingkirkan ke saingan Liga Kejuaraan pada musim berikutnya.

Jodoh Etheridge bersama Cardiff City kekal sehingga ke musim berikutnya sebelum dia berhijrah menyertai Birmingham City – kelab terakhir yang diwakilinya di United Kingdom sebelum menyertai Buriram United.  

Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Etheridge melebarkan kariernya ke benua asia atau secara spesifiknya rantau asia tenggara memandangkan kariernya sejak zaman remaja hanya bertumpu di United Kingdom.

Sebagai tambahan, Etheridge merupakan pemain baharu yang kelapan diikat Buriram United pada jendela perpindahan kali ini selepas merekrut Marcedo Djalo, Curtis Good, Chrigor Moraes, Matheus de Vargas, Charalampos Charalampous, Athit Berg dan Phitiwat Sookjitthammakul.

Selain itu, Buriram United turut mengikat khidmat ketua jurulatih baharu iaitu Osmar Viera dari Brazil.

Featured Image: Buriram United

Komen