KBS Salur RM300,000 Kepada Empat Atlet Sukan Olimpik 2024
July 5, 2024 Hafizuddin Omar

Empat atlet negara yang terpilih ke temasya Sukan Olimpik 2024 diberikan bantuan kewangan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Bantuan kewangan tersebut diberikan kepada empat atlet profesional atau yang bergerak secara sendirian (independent) iaitu pemain badminton, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei serta pemain golf, Gavin Kyle Green dan Ashley Lau Jen.

MSN dalam satu kenyataan media menjelaskan bantuan ini merupakan inisiatif pihak kementerian untuk membantu meringankan beban atlet profesional negara bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan pelatih (sparring partner) dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan mereka dalam keadaan optimum.

Baca: Atlet Negara Ke Sukan Olimpik Dapat 3 Pasang Kasut Skechers Setiap Orang

“Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN (Institut Sukan Negara) tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.”

“Kami mahu para atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara,” jelas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pula.

Pada masa yang sama, pihak kementerian juga berharap bantuan tambahan ini sedikit sebanyak akan mampu membantu atlet-atlet memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing dan memberikan persembahan terbaik mereka apabila turun mengejar kejayaan di kota Paris nanti.

Untuk makluman semua, pertandingan badminton di temasya Olimpik kelak dijadualkan berlangsung dari 27hb Julai hingga 5hb Ogos sementara golf pula akan berlangsung dari 1hb hingga 5hb Ogos.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen