Selangor FC Pinjamkan Muhammad Abu Khalil Kepada Kelab J3 – Kontrak Hingga 31 Disember 2024
July 5, 2024 Hafizuddin Omar

Seorang lagi pemain Malaysia akan mewarnai kancah bola sepak divisyen ketiga Jepun, Liga J3 apabila Selangor FC bersetuju untuk meminjamkan pemain tengahnya, Muhammad Abu Khalil kepada FC Osaka.

Penyertaan Muhammad yang juga pemain termuda skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) dalam saingan Piala Asia B-23 yang lalu turut disahkan sendiri oleh FC Osaka menerusi laman sesawang rasminya, pada hari ini.

Dimaklumkan, kontrak pinjaman Muhammad berlanjutan sehingga 31 Disember 2024 selain diberikan jersi bernombor 99 untuk disarungnya sepanjang bersama kelab berpangkalan di bandar Higashiosaka itu.

Untuk makluman, Muhammad terpilih untuk menyertai FC Osaka yang ditubuhkan pada tahun 1996 selepas menjalani sesi percubaan dari 24hb Jun hingga 2hb Julai yang lalu.

“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara.”

“Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.” 

“Saya lihat ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa.” 

Baca: Pemilik JDT Intai Peluang Beli Kelab Bola Sepak Jepun

“Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari. Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3.” 

“Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar. InshaaAllah.” katanya.

Sebagai rekod, pada musim lalu, Muhammad membuat 18 penampilan dalam saingan Piala MFL sebelum dinaikkan pangkat ke skuad senior bermula Februari lalu.

Pada musim lalu juga, Muhammad berjaya melakukan debut bersama skuad senior dalam kancah Liga Super ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Negeri Sembilan FC pada 14 Ogos.

Pada ketika ini, FC Osaka berada di tangga ketiga berkongsi mata bersama kelab di tangga kedua dalam saingan Liga J3.

Baca: YSCC Yokohama Pinjam Luqman Sehingga 1 Jan 2025

Penyertaan Muhammad menjadikan saingan J3 kini diserikan dengan kehadiran dua orang pemain Malaysia selepas Luqman Hakim Shamsudin menyertai Yokohama Soccer & Cultural Club (YSSC) bermula Januari lalu.

YSSC sedang menghuni tangga ke-16 Liga J3 selepas mengharungi 19 perlawanan.

Featured Image: FC Osaka

Komen