Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berkemungkinan terpaksa berhadapan dengan dua pasangan lawan yang kuat pada peringkat kumpulan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ini berikutan Pearly-Thinaah yang muncul juara Terbuka Perancis 2022 menghuni ranking ke-13 dunia – kedudukan yang sama sekali tidak meletakkan mereka selaku beregu pilihan (seeds) di temasya tersebut.
Bagi pertandingan badminton kategori beregu di temasya Olimpik, hanya empat beregu sahaja diletakkan sebagai pasangan pilihan – berdasarkan ranking dunia pada 25hb Jun lalu.
Jangkaan senario sukar buat Pearly-Thinaah pada peringkat kumpulan itu dikongsikan oleh Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky.
“Saya fikir ianya bergantung kepada (keputusan) undian,” katanya menjawab samada format pertandingan di temasya Olimpik membuka peluang yang lebih besar buat Pearly-Thinaah mara ke peringkat kalah mati.
“Sebenarnya, kedudukan ranking dunia Pearly-Thinaah tidak membantu mereka untuk mendapatkan (hasil) undian yang baik,”
“Jadi saya percaya kedua-dua wanita ini memahami situasi itu, apa-apa pun terjadi pada undian tersebut pada 12hb nanti, mereka telah bersedia secara mental,”
“Kemungkinan pada undian itu nanti, mereka akan diundi bersama-sama dua pasangan lawan yang kuat,” jelas Rexy ketika ditemui para pengamal media sesama sesi temu bual khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari ini.
Baca – Terbuka Indonesia: Beregu No.1 Dunia ‘Berpeluh’ Sebelum Singkir Pearly-Thinaah
Bagaimanapun, Rexy melihat Pearly-Thinaah dapat menterbalikkan kesukaran itu menjadi satu kelebihan daripada aspek mental sekiranya berjaya melepasi ‘ujian’ tersebut.
“Tetapi saya rasa itu merupakan satu perkara yang bagus, sekiranya mereka diundi bersama pasangan lawan yang kuat pada peringkat kumpulan dan mereka dapat melepasinya, itu akan memberikan tambahan (kekuatan) mental untuk menghadapi peringkat kalah mati,” ujarnya.
Untuk makluman, ini merupakan penampilan pertama Pearly-Thinaah yang pernah menghuni ranking tertinggi – kelima dunia – di temasya Olimpik dalam kariernya.