Gareth Southgate Letak Jawatan Selaku Pengurus England
July 16, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan England terpaksa mencari pengendali baharu.

Ini susulan pengurusnya, Gareth Southgate mengumumkan meletakkan jawatannya secara mengejut kira-kira sehari selepas beraksi dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah UEFA (EURO) 2024, awal pagi Isnin lalu (waktu Malaysia).

Pengumuman perletakan jawatannya itu disiarkan oleh laman sesawang rasmi dan dikongsikan pelbagai platform media sosial milik skuad berjulukan The Three Lions, sebentar tadi.

Pengurus berusia 53 tahun kelahiran Watford itu menyimpulkan ini merupakan masa untuk melakukan perubahan sekaligus menjadikan perlawanan menentang Sepanyol di Olympiastadion, Berlin semalam sebagai perlawanan terakhirnya selaku pengurus England.

Baca: Sepanyol Muncul Juara EURO 2024 – Raih Sekitar RM143 Juta

Sebagai rekod, Southgate mula dilantik sebagai pengurus England pada November 2016 selepas mempamerkan prestasi yang cemerlang selaku pengurus sementara (interim) menggantikan Sam Allardyce.

Sepanjang hampir lapan tahun bersama England, sumbangan terbesar Southgate pastinya ketika membawa skuad The Three Lions menjejakkan kaki ke perlawanan akhir EURO 2020 dan 2024.

Namun begitu, Southgate terpaksa akur akan kekalahan di tangan Itali dan Sepanyol dalam kedua-dua perlawanan  akhir tersebut sekaligus terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan benua terbabit.

Bagi kempen Piala Dunia, Southgate mengemudi England meraih kedudukan keempat pada edisi 2018 yang berlangsung di Rusia sementara kandas pada peringkat suku akhir pada edisi 2022 di Qatar.

Featured Image: England Football

Komen