Sabah Rancang Ikat Pemain Import Hadapi Kelayakan AWCL 2024-25

July 19, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, Sabah FA bercadang untuk mendapatkan khidmat pemain import bagi menguatkan pasukannya untuk menghadapi Kelayakan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25.

Selain daripada pemain import, skuad bimbingan Justin Ganai itu turut membuat penelitian untuk mengikat beberapa pemain lokal bagi menghadapi juara liga Uzbekistan dan Nepal iaitu PFC Nasaf dan APF FC dalam Kumpulan C.

“Kita merancang untuk mendapatkan beberapa pemain lokal dan juga import tetapi setakat ini belum kami dapat pastikan lagi,”

“Saya sedang meneliti pemain-pemain yang mungkin boleh membantu pasukan, setakat ini belum ada nama lagi,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian peringkat kelayakan dan kumpulan AWCL 2024-25 di AFC House, Bukit Jalil, semalam.

Ketua jurulatih skuad wanita Sabah FA, Justin Ganai

Baca: Skuad Wanita Sabah Raih RM471,100 Jika Ke Peringkat Kumpulan AWCL 2024-25

Berdasarkan peraturan pertandingan, Sabah boleh mengikat sehingga enam pemain import bagi menghadapi peringkat kelayakan yang akan berlangsung dari 25hb hingga 31hb terbabit.

Sementara itu, Justin mengakui tidak mengetahui secara terperinci mengenai kekuatan lawannya yang difahamkan APF FC memegang rekod tanpa kalah selama tiga musim berturut-turut manakala PFC Nasaf pula telah menjuarai liga negaranya selama lima kali.

Namun begitu, beliau mengharapkan anak-anak buahnya dapat memberikan saingan dan memberikan persembahan yang terbaik.

Sekiranya muncul juara bagi peringkat kelayakan dalam Kumpulan C, Sabah akan menyertai Kumpulan A pada peringkat kumpulan bersama-sama Wuhan Jiangda Women’s FC (China) dan Hyundai Steel Red Angels Women’s FC (Korea) serta juara peringkat kelayakan dari Kumpulan A.

Featured Image: Sabah Football Association Women’s Team

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd