Treler bagi filem yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai bola sepak Malaysia berjudul Selamanya Harimau Malaya atau Harimau Malaya: The Untold Journey diperlihatkan kepada umum sekali lagi.
Treler yang berdurasi dua minit dan dua saat itu dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya semalam serta akaun Youtube rasminya, pada hari ini.
Treler itu memapaparkan beberapa babak penting dalam filem berkenaan seperti kumpulan penyokong menyerbu bas pasukan, pertemuan awal ketua jurulatih bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sesi latihan dan detik-detik kekalahan dan kemenangan skuad Harimau Malaya.
Menariknya, ianya turut memperlihatkan penampilan khas penyerang sayap skuad kebangsaan merangkap pemain Selangor FC, Faisal Halim yang membawakan watak sebagai pekerja pasaraya AEON BiG.
Sepanjang treler itu juga beberapa pelakon yang membawakan beberapa watak turut dipertontonkan seperti Tony Eusoff selaku Presiden FAM, Erra Fazira sebagai isteri kepada Presiden FAM, Meerqeen serta Aidil sebagai pemain dan Namron selaku wartawan.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua filem Harimau Malaya arahan Dato’ Afdlin Shauki ini berkongsikan trelernya selepas memperlihatkan treler pertama sekitar awal Januari lalu.
Untuk makluman semua, filem ini akan mula ditayangkan di pawagam pada 15 Ogos kelak.