Filem Selamanya Harimau Malaya Ditayangkan Bermula 15 Ogos
Hafiz Omar
Filem yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai bola sepak Malaysia arahan Dato’ Afdlin Shauki iaitu Selamanya Harimau Malaya (dahulunya berjudul Harimau Malaya: The Untold Journey) akan ditayangkan di pawagam bermula 15hb Ogos.
Bersempena dengan pelancaran filem yang dibintangi oleh Meerqeen, Amelia Henderson, Sophia Albarakbah, Aiman Hakim Ridza, Aidil Aziz, Tony Eusoff, Douglas Lim dan beberapa pelakon lain lagi, penerbit, 4ward Entertaiment tampil menganjurkan satu pertandingan bola sepak peringkat bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun.
Pertandingan itu dinamakan sebagai Harimau Malaya Junior Cup akan dilangsungkan di empat zon berasingan di Penang (zon utara), Kertih (zon timur), Johor Bahru (zon selatan) dan Kuala Lumpur (zon tengah).
Baca: Era Kim Pan-Gon Sudah Berakhir
Peringkat Zon Utara dan Zon Timur akan berlangsung pada 20hb Julai 2024 manakala Zon Selatan dan Zon Tengah akan berlangsung pada 27hb Julai 2024.
Empat pasukan terbaik dari setiap zon akan layak ke peringkat Grand Final yang akan berlangsung pada 10hb Ogos 2024 di Subang, Selangor.
Baca: FAM Lantik Pau Marti Sebagai Pemangku Ketua Jurulatih, Elavarasan Penolong Ketua Jurulatih
Juara peringkat Grand Final akan mendapat tajaan dari 4ward Entertainment untuk dibawa ke luar negara untuk bermain perlawanan persahabatan.
Selain daripada itu, satu perlawanan pertunjukan melibatkan artis, selebriti dan bekas pemain akan turut diadakan sempena Grand Final tersebut.
Bagi pasukan yang berminat untuk menyertai Harimau Malaya Junior Cup, pendaftaran boleh dilakukan dengan menghubungi menerusi Whatsapp, 016 219 3307.
Sepertimana dikongsikan oleh Afdlin sebelum ini, filem ini akan memaparkan kisah disebalik tabir melibatkan skuad kebangsaan selepas daripada Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan dan permulaan era Kim Pan-gon membimbing Malaysia ke saingan Piala Asia 2023.