Norza Calon Tunggal Naib Presiden OCA Zon Asia Tenggara
Hafiz Omar
Presiden Majlis Olimpik Asia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria muncul sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Zon Asia Tenggara.
Pencalonan tersebut disahkan sendiri oleh Jawatankuasa Pemilihan OCA menerusi satu kenyataan akhbar yang dikongsikan oleh OCA di pelbagai platform media sosialnya, pada Isnin.
Turut sama yang dicalonkan bagi jawatan tersebut bagi zon-zon lain adalah seperti berikut:
- Asia Timur: Timothy Fok (Hong Kong) dan Battushig Batbold (Mongolia)
- Asia Selatan: HRH Prince Jigyel Wangchuk (Bhutan) dan Maxwell De Silva (Sri Lanka)
- Asia Tengah: Otabek Umarov (Uzbekistan) dan Sadyr Mamytov (Kyrgyzstan)
- Asia Barat: Dr. Thani Al Kuwari (Qatar)
Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pemilihan OCA turut mengesahkan bahawa Pemangku Presiden OCA, Randhir Singh diumumkan sebagai calon tunggal yang layak dinamakan untuk jawatan presiden pada Perhimpunan Agung OCA dijadualkan berlangsung pada 8hb September.
Pencalonan tunggal itu menyaksikan bekas penembak yang berusia 77 tahun itu bakal mencipta sejarah sebagai rakyat India pertama yang akan menduduki kerusi Presiden OCA.
Sementara itu, penglibatan Norza dalam pergerakan Olimpik di benua asia bukanlah sesuatu yang baharu.
Sebelum ini, Norza telah menyertai Ahli Lembaga Eksekutif OCA selepas dilantik untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan Untuk Semua OCA penggal 2023-2027 selain menjadi Ahli Jawatankuasa Koordinasi untuk Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026.
Terdahulu, Norza juga merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Hubungan Antrabangsa OCA bagi penggal 2019-2023.
Sebagai tambahan, Norza sekitar penghujung Mei lalu telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan selaku Presiden BAM selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Featured Image: Majlis Olimpik Malaysia