Olimpik 2024: Noah Lyles Sasar Sapu Pingat Emas 100m, 200m & 4x100m
July 24, 2024 Hafizuddin Omar

Pelari pecut Amerika Syarikat, Noah Lyles meletakkan sasaran untuk menyapu tiga butir pingat emas dalam acara 100 meter (m), 200m dan 4x100m di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Sasarannya itu dilaungkan selepas atlet berusia 27 tahun ini muncul pemenang dalam acara 100m di London Athletics Meet yang merupakan salah satu siri kejohanan Diamond League di bawah kelolaan World Athletics pada 20hb Julai baru-baru ini.

Noah bukan sahaja membawa pulang emas daripada acara tersebut bahkan turut merekodkan larian terpantasnya pada tahun ini iaitu 9.81 saat (s) sekaligus memberikan amaran kepada seterunya menjelang acara 100m di Paris kelak.

Sasaran Azeem di Olimpik: Catat Masa Terbaik Musim Ini Atau Pecah Rekod 10.09s

“Pada musim panas ini, saya akan memenangi tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m.

“Sudah tentu, ia tidak mudah tetapi itu adalah sebahagian daripada keseronokannya. Saya suka detik-detik besar, ia seperti pentas untuk menunjukkan kepada dunia segala usaha dan keghairahan yang saya letak dalam diri saya.” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang Adidas.

Untuk makluman, ini merupakan kali kedua Noah beraksi di temasya Olimpik selepas menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikannya membawa pulang pingat gangsa dalam acara 200m.

Untuk acara 200m, rekod peribadi terbaik Noah bagi musim ini adalah 19.53s dilakukannya di US Olympic Trials pada penghujung Jun lalu. Sebagai perbandingan, rekod peribadi terbaik Noah dalam acara 200m adalah 19.31s dilakukannya pada tahun 2022.

Featured Image: Adidas

Komen