Kelayakan UCL: Mourinho Langkah Kanan Bersama Fenerbahce, Edin Dzeko Hatrik
July 24, 2024 Hafizuddin Omar

Pengembaraan Jose Mourinho bersama Fenerbahce bermula dengan langkah kanan apabila berhasil mencatatkan kemenangan epik dalam perlawanan rasmi yang pertama di bawah kendaliannya, awal pagi tadi.

Jurulatih berusia 61 tahun terbabit berhasil membimbing skuad berjulukan The Yellow Cannaries meraih kemenangan 4-3 ke atas Lugano dari Switzerland pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2024-25.

Menariknya, perlawanan yang berlangsung di Stockhorn Arena itu turut menyaksikan kapten merangkap penyerang veteran Fenerbahce, Edin Dzeko melakar hatrik.

Dzeko yang berusia 38 tahun menjaringkan tiga gol tersebut pada 45+1’ (penalti), 46’ dan 67’. Manakala satu lagi jaringan oleh Fenerbahce disumbangkan oleh Ferdi Kadioglu pada 73’.

Baca: Netflix Tayang Dokumentari Jose Mourinho Pada 2025

Sementara itu, Lugano pula memperoleh tiga golnya menerusi jaringan oleh Ayman El Wafi, Uran Bislimi dan Milton Venezuela pada 4’, 64’ dan 90+4’ masing-masing.

Untuk perlawanan timbal balik, Fenerbahce akan menerima kunjungan Lugano pada 31hb Julai kelak di halamannya sendiri, Stadium Sukru Saracoglu.

Sekirannya berhasil melakar kemenangan selepas tamatnya aksi timbal balik tersebut, Fenerbahce akan mara pusingan play-off UCL 2024-25.

Bagaimanapun, lawannya akan diketahui selepas undian dilakukan pada 5hb Ogos kelak.

Sebelum turun ke perlawanan ini, Mourinho yang diperkenalkan secara rasmi sebagai pengurus Fenerbahce pada awal Julai telah mengendalikan Fenerbahce menghadapi empat perlawanan persahabatan.

Empat perlawanan menentang Flyeralarm Admira, Hadjuk Split, Strasbourg dan Hull City itu berakhir dengan dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Sebagai tambahan, tugasan Mourinho bersama Fenerbahce ini merupakan yang pertama buatnya selepas dilepaskan oleh AS Roma sekitar pertengahan Januari lalu.

Featured Image: Fenerbahce

Komen