Pan-gon Letak Jawatan, Tak Wajar Salahkan Hamidin – Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis
July 24, 2024 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim merasakan tidak wajar untuk menyalahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin berikutan perletakan jawatan Kim Pan-gon selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Pada masa yang sama, Zamri melihat ianya merupakan norma dalam dunia bola sepak selain perletakan jawatan Pan-gon yang berusia 55 tahun itu adalah atas pilihannya sendiri.

“PFA menganggap bahawa peletakan jawatan Pan Gon merupakan perkara biasa dalam era bola sepak profesional.” 

“Melihat pada pengumuman yang dibuat oleh Pan-gon, jurulatih itu jelas meletak jawatan atas keputusan peribadi iaitu dalam erti kata lain bukanlah dari tekanan mana-mana pihak.”

“Oleh yang demikian, PFA berpendapat persetujuan bersama telah pun dipersetujui oleh FAM dan Pan Gon, merujuk kepada tiada tuntutan pampasan antara kedua pihak.” 

“Sepertimana sedia maklum, jurulatih tersebut masih berbaki kontraknya sehingga Disember 2025,” kata Zamri menerusi satu kenyataan media pada hari ini.

Baca: FAM Nilai Prestasi Coach Pau Selepas Selesai Piala ASEAN 2024

Susulan daripada pengumuman perletakan jawatan oleh Pan-gon itu, FAM bertindak mengumumkan Pau Marti yang sebelum ini merupakan penolong ketua jurulatih sebagai Pemangku Ketua Jurulatih.

Dalam kenyataan yang dikongsikan itu, Zamri turut mengambil kesempatan untuk mengajak para peminat dan penyokong bola sepak tanah air untuk memberikan sokongan berterusan kepada barisan kepimpinan FAM.

“Saya sebagai Presiden PFA mengajak semua peminat dan penyokong bola sepak Malaysia untuk terus memberi sokongan terhadap usaha kepimpinan FAM memacu bola sepak negara.

“Sebagai rekod, usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh Datuk Hamidin selaku Presiden FAM dan barisan exconya selama beberapa tahun ini dalam memastikan ranking bola sepak negara melonjak naik seharusnya dipuji dan diakui kejayaannya.

“Sekali lagi saya menyeru agar semua pihak bersatu dalam memastikan bola sepak kita kembali menggegar persada antarabangsa,” tambahnya.

Komen