Prestasi Pemangku ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Pau Marti akan dinilai oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas selesai saingan Piala ASEAN Ke-15 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) yang berlangsung dari 23hb November hingga 21hb Disember 2024.
Sebelum kejohanan dwitahunan terbabit, Pau akan membimbing skuad Harimau Malaya menghadapi saingan Pesta Bola Merdeka 2024 yang turut disertai juara bertahan, Tajikistan serta Lubnan dan Filipina.
Selepas itu, terdapat dua lagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada 7hb-15hb Oktober dan 11hb-19hb November dimana Pau perlu mengendalikan Harimau Malaya menghadapi sekurang-kurangnya empat perlawanan persahabatan antarabangsa.

Baca: Era Kim Pan-Gon Sudah Berakhir
“Dia (Pau) memangku untuk jawatan ketua jurulatih untuk kejohanan-kejohanan ini, lepas itu barulah kita nilai, kita tengok, sebab kita pun tak tahu,”
“Kita akan menilai selepas perlawanan-perlawanan terdekat ini sehingga (pertandingan) Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, lepas itu, kita akan bersiap sedia untuk (pusingan akhir) kelayakan Piala Asia,”
“Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (FAM) akan menilai prestasi barisan kejurulatihan ini,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi baru-baru ini.

Baca: Hamidin Terkilan Dengan Kim Pan-gon, Sebelum Ini Komited Mahu Kekal Sehingga Hujung 2025
Pada Selasa lalu, Pau kelahiran Sepanyol yang bakal menjengah usia 41 tahun pada September nanti dipilih untuk memangku jawatan tersebut selepas Kim Pan-gon mengumumkan perletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta secara mengejut.
Menurut Yusoff, Pau dipilih untuk memangku jawatan tersebut dan tidak melantik jurulatih lain untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Pan-gon atas faktor tidak mahu mengganggu persiapan skuad kebangsaan untuk beberapa kejohanan mendatang selain Pau dan barisan kejurulatihan yang lain masih mempunyai kontrak bersama FAM sehingga hujung 2025.
Featured Image: Football Association of Malaysia