FIFA Implemen Hanya Kapten Boleh Dekati Pengadil Di Olimpik 2024

July 25, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Acara bola sepak di Sukan Olimpik Paris 2024 menyaksikan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan satu panduan atau peraturan baharu diimplemen untuk kesemua pasukan baik lelaki mahupun wanita yang beraksi di temasya berkenaan.

Panduan baharu yang diimplemen oleh badan induk bola sepak dunia itu adalah hanya kapten sahaja dibenarkan untuk mendekati pengadil dalam situasi-situasi tertentu semasa perlawanan.

Menurut panduan yang dikongsikan, dikeluarkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), interaksi antara pemain-pemain dan pengadil dalam keadaan biasa masih lagi dibenarkan.

Panduan itu turut menyatakan bahawa, pengadil, sekiranya wajar, akan menjelaskan keputusan-keputusan penting dilakukannya kepada kapten dan pemain-pemain yang terlibat dengan sebarang insiden.

Pada masa yang sama, panduan ini diimplemen untuk mengelakkan pemain-pemain berkerumun atau mengelilingi pengadil dalam situasi-situasi tertentu apabila berlaku sebarang insiden atau selepas sebarang keputusan diambil oleh pengadil. 

Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Hanya satu pemain daripada setiap pasukan – kebiasaannya kapten – dibenarkan untuk mendekati pengadil dan pemain itu perlu berinteraksi dalam tingkah laku penuh hormat.
  • Pengadil boleh mengarahkan atau menggalakkan pemain-pemain untuk tidak mendekatinya.
  • Kapten pasukan bertanggungjawab untuk membantu mengarahkan rakan sepasukannya untuk menjauhi pengadil.
  • Pemain-pemain yang mendekati atau mengelilingi pengadil ketika mana mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian boleh dikenakan amaran (layangan kad kuning).
  • Jikalau wajar, pengadil boleh melewatkan sambungan permainan, memberikan masa kepada kapten untuk bercakap kepada rakan sepasukannya bagi menjelaskan keputusan, menuntut tingkah laku yang sepatutnya dan sebagainya.

Baca: FIFA Tangguh Keputusan Permohonan Palestin Untuk Gantung Israel

Sementara itu, sekiranya kapten bagi sesebuah pasukan itu adalah penjaga gol, pengadil perlu diberitahu oleh kapten semasa balingan syiling sebelum sepak mula pemain yang dicalonkan untuk mewakilinya bagi mendekati pengadil dalam sebarang situasi.

Jika pemain itu ditukarkan atau dikeluarkan, pemain lain perlu dicalonkan dan diberitahu kepada pengadil.

Difahamkan, selepas ini, FIFA akan menggalakkan penggunaan panduan atau peraturan ini di semua kejohanan atau pertandingan bola sepak di seluruh dunia bermula dari peringkat elit sehingga ke bawahan.

Untuk makluman, Acara bola sepak lelaki di temasya Olimpik telah bermula semalam dengan aksi melibatkan Argentina menentang Maghribi dan Uzbekistan bertemu Sepanyol, malam tadi (waktu Malaysia).

Pertandingan bola sepak bagi kategori wanita pula akan bermula pada malam ini dengan pertemuan melibatkan Kanada dan New Zealand serta Sepanyol menentang Jepun.

Featured Image: IFAB

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd