Kedah Lancar Jersi Musim 2024-25 Tanpa Penaja Utama – Harga RM149
July 26, 2024 Hafizuddin Omar

Akhirnya pasukan berpangkalan di utara tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) melancarkan jersi “home” dan “away” bagi musim ini selepas hampir dua bulan dan setengah berlangsung saingan Liga Malaysia 2024-25.

Sebelum ini skuad berjulukan Sang Kenari membuat keputusan untuk tidak melancarkan jersi baharunya bagi musim ini berikutan masalah penaja utamanya yang menarik pada saat-saat akhir.

Susulan itu, pihak pengurusan membuat keputusan untuk menangguhkan pelancaran jersi baharu dan beraksi pada peringkat awal saingan Liga Malaysia musim ini menggunakan jersi pramusim. 

Pelancaran itu dilakukannya secara digital dengan memuat naik video pengenalan jersi berdurasi 1.26 minit dan grafik-grafik bagi jersi baharunya itu.

Bagi jersi “home”, ALX – jenama yang dimiliki oleh Al-Ikhsan – mengekelkan warna tradisi Sang Kenari iaitu hijau dan kuning. Manakala, jersi “away” hadir dalam warna hijau dan merah.

Baca: Hukuman Tolak 3 Mata Kekal Biarpun Tunggakan Gaji Kedah Sudah Selesai

Bahagian hadapan kedua-dua versi jersi itu tidak dihiasi dengan sebarang logo penaja utama manakala di bahagian belakangnya tertera loggo Cosmic, Anak Sena, Arab Street dan Al-Ikhsan Sports.

Pada lengan kanan dan kiri, ianya diselitkan dengan logo Electrica dan Berrypay.   

Turut bersama didedahkan kepada umum adalah jersi-jersi penjaga golnya dalam warna biru, hitam dan ungu.

Kesemua jersi ini dijual pada harga RM149 sehelai dan ianya boleh dibeli secara fizikal (Sang Kenari Store, Al-Ikhsan Sports serta Football Repupblic) dan atas talian menerusi Ferhad Sports (Shopee & Tiktok).

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen