Sukan Olimpik Kali Ke-33 di Paris, Perancis bermula secara rasminya selepas acara pembukaannya dilangsungkan pada awal pagi Sabtu (waktu Malaysia) di sepanjang Sungai Seine.
Temasya itu menyaksikan seramai lebih 10,500 atlet daripada 203 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) berkumpul untuk menyertai 32 jenis sukan melibatkan 329 acara dipertandingkan.
Daripada jumlah atlet tersebut, di sini kami kongsikan tiga atlet termuda dan tertua yang beraksi di temasya Olimpik kali ini:
Tiga Atlet Termuda
#1 Zheng Haohao

Pemain papan luncur dari China muncul sebagai atlet termuda yang bertanding di Sukan Olimpik 2024. Atlet kelahiran Guangdong yang lahir pada 11hb Ogos 2012 ini akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-12 ketika temasya ini menutup tirainya kelak.
Untuk makluman, penyertaan Haohao di Sukan Olimpik kali ini bukan sahaja meletakkan namanya selaku atlet termuda di temasya bahkan atlet termuda yang mewakili China ke Sukan Olimpik dalam sejarah.
#2 Vareeraya Sukasem

Atlet kedua termuda di Sukan Olimpik datangnya dari Thailand iaitu Vareeraya Sukasem yang turut bertanding dalam acara papan luncur. Vareeraya menyertai Sukan Olimpik kali ini pada usia 12 tahun.
Vareeraya atau juga dikenali sebagai “ST” dalam arena sukan papan luncur merupakan salah seorang daripada 22 pemain papan luncur wanita yang mengambil bahagian dalam acara “street”.
#3 Heili Sirvio

Atlet ketiga termuda di Sukan Olimpik kali ini juga seorang wanita dan pemain papan luncur. Heili kelahiran Finland menyertai temasya kali ini pada usia 13 tahun. Ia turut meletakkan namanya selaku atlet Finland termuda beraksi di Olimpik.
Baca: Aplikasi Unifi TV Sedia 17 Saluran Olimpik 2024 Secara Percuma – Termasuk Bukan Pelanggan
Tiga Atlet Tertua
#1 Juan Antonio Jimenez Cobo

Atlet tertua yang mengisi atlet ini adalah Juan Antonio Jimenez Cobo yang berusia 65 tahun. Pada temasya Olimpik kali ini, atlet ekuestrian dari Sepnyol ini akan melakukan penampilan ketiganya selepas beraksi dalam edisi Sydney 2000 dan Athens 2004.
Untuk makluman, Juan mempunyai sekeping pingat perak Olimpik daripada acara berpasukan dressage ketika beraksi di Athens 2004.
#2 Rolf-Goran Bengtsson

Atlet kedua tertua di temasya kali ini adalah kelahiran Lund, Sweden yang berusia 62 tahun iaitu Rolf-Goran Bengtsson. Beliau juga merupakan atlet ekuestrian dan ini merupakan penampilan keenamnya di temasya Olimpik selepas melakukan debut pada edisi 1996 di Atlanta.
Rolf-Goran memiliki dua pingat perak diraihnya ketika menyertai acara berpasukan di Sukan Olimpik Athens 2004 dan acara individu di Sukan Olimpik Beijing 2008.
#3 Pius Schwizer

Seorang lagi atlet tertua yang mengisi senarai ini jatuh kepada Pius Schwizer yang berusia 61 tahun. Atlet kelahiran Switzerland ini turut mengambil bahagian dalam acara ekuestrian dan ini merupakan penampilan ketiganya di Olimpik.
Pius pernah meraih satu pingat gangsa dalam acara berpasukan ketika menyertai Sukan Olimpik Beijing 2008.