Pemenang Pingat Olimpik & Paralimpik 2024 Dijanjikan Penghantaran Makanan Percuma Selama Setahun
Hafiz Omar
Pemenang pingat emas, perak mahupun gangsa di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 serta Paralimpik Paris 2024 akan mendapat penghantaran makanan percuma selama setahun (akan ditetapkan hadnya).
Ganjaran itu dijanjikan oleh Grab Malaysia sepertimana diumumkan oleh Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo menerusi satu kenyataan yang dikongsikan pada Isnin.
Selain penghantaran percuma, pemenang pingat emas bagi kedua-dua temasya berkenaan turut dihadiahkan sebanyak sejuta mata GrabRewards.
Manakala pemenang pingat perak dan gangsa diberikan sebanyak 500,000 dan 250,000 mata GrabRewards masing-masing.

Baca: Tiga Syarikat Sediakan RM2 Juta Untuk Pemenang Pingat Emas Olimpik 2024 – KBS
Sementara itu, setiap atlet yang menyertai samada Sukan Olimpik 2024 atau Paralimpik 2024 pula menerima sekurang-kurangnya 50,000 mata GrabRewards setiap seorang.
Bukan itu sahaja, kesemua jurulatih dan pegawai seramai 110 orang yang terlibat di Sukan Olimpik 2024 dan Paralimpik 2024 akan diberikan baucar GrabFood bernilai RM100.
Baca: Pangsapuri Servis RM1 Juta Menanti Atlet Negara Bawa Pulang Pingat Emas Olimpik 2024
Dimaklumkan, kesemua ganjaran ini adalah merupakan satu bentuk sokongan terhadap usaha keras dan dedikasi atlet-atlet negara daripada Grab Malaysia.
Pada masa yang sama, insentif oleh Grab Malaysia ini turut mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Menurutnya, insentif ini juga menunjukkan sektor swasta percaya dan yakin kemampuan atlet-atlet negara untuk membutirkan pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia.
Featured Image: Grab Malaysia