Olimpik 2024: Zii Jia Hanya Menang 3 Kali Bertemu Antonsen

August 1, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan rakan akrabnya dalam arena badminton, Anders Antonsen akan bertembung sesama sendiri pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

 Menyoroti rekod pertemuan, kedua-dua pemain yang berketinggian 1.86 meter (m) dan 1.88m ini sudah bertembung sebanyak lapan kali dalam pelbagai kejohanan antarabangsa sejak tahun 2019.

Daripada kesemua pertemuan itu, Antonsen dilihat memiliki kelebihan daripada segi rekod itu apabila mendaftarkan lima kemenangan berbanding tiga yang dicetak oleh Zii Jia.

Lima kemenangan itu dilakarnya ketika turun di kejohanan Indonesia Masters 2019, Terbuka Indonesia 2019, Kejohanan Dunia 2021, Kejohanan Dunia 2023 dan Kumamoto Masters Jepun 2023.

Baca: Pemenang Pingat Olimpik & Paralimpik 2024 Dijanjikan Penghantaran Makanan Percuma Selama Setahun

Bagaimanapun, pertemuan terakhir melibatkan pemain berusia 26 dan 27 tahun masing-masing di Malaysia Masters 2024 pada Mei lalu berpihak kepada Zii Jia dengan skor 21-15, 19-21 dan 21-11.

Selain itu, dua lagi rekod kemenangan Zii Jia dicipta semasa berentap di Malaysia Masters 2020 dan Terbuka Artik 2023.

Terdahulu Zii Jia mengesahkan langkah ke peringkat suku akhir selepas berhasil menundukkan pemain tuan rumah, Toma Junior Popov secara “straight set”  pada aksi pusingan 16.

Sementara itu, Antonsen yang menduduki ranking ketiga dunia mendapat “bye” pada pusingan 16 dan mara secara terus ke suku akhir selepas menundukkan Ade Resky Dwicahyo (Azerbaijan) dan Collins Valentine Filimon (Austria) sekaligus muncul juara Kumpulan E.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd