Menteri Sumber Asli & Kelestarian Alam Tawar Diri Dicalonkan Presiden KLFA
August 8, 2024 Hafizuddin Omar

Menteri Sumber Asli & Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, YB Nik Nazmi Nik Ahmad membuat pengumuman yang mengejutkan dengan menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Pengumuman itu dibuat menerusi satu video yang dikongsikan di akaun media sosialnya, pada hari ini, kira-kira sebulan sebelum berlangsungnya Kongres KLFA pada 7 September nanti.

“Saya menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden KLFA, pada kongres tahun ini.” katanya menerusi video yang berdurasi sekitar 4 minit dan setengah itu.

Baca: Naib Juara Piala AFC Kena Potong 6 Mata, Tak Boleh ‘Sign’ Pemain, Denda RM100,000

“Saya juga telah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh-tokoh korporat, profesional, institusi kerajaan, untuk bersama-sama wakil kelab-kelab gabungan untuk mengemudi KLFA.” tambahnya lagi.

Ketika ini, jawatan Presiden KLFA dipangku oleh Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid susulan perletakan jawatan oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Khalid Abdul Samad selaku presiden badan induk berkenaan sekitar pertengahan Mac lalu.

Untuk makluman semua, KLFA merupakan pemilik bagi pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25.

Featured Image: Facebook Nik Nazmi

Komen