Undian ACLE: JDT Duduk Sebalang Dengan Kelab Bimbingan Kim Pan-gon
August 14, 2024 Hafizuddin Omar

Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan dalam Balang 1 bagi rantau timur menjelang majlis undian Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024-25 yang akan berlangsung Jumaat.

Turut diletakkan bersama-sama JDT dalam balang tersebut adalah kelab yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon iaitu Ulsan HD (Korea).

Selain itu, Balang 1 turut diisikan dengan juara Liga Jepun, Vissel Kobe; juara Liga China, Shanghai Port FC; juara Liga Thailand, Buriram United dan juara Liga Australia, Central Coast Mariners.

Sementara itu, Balang 2 pula diisi oleh Kawasaki Frontale, Pohang Steelers, Shanghai Shenhua, Yokohama F. Marinos, Gwangju FC dan Shandong Taishan.

Baca: Tecno Warnai Liga Juara-Juara AFC 2024-25

Saingan ACLE kali ini akan mengguna pakai format baharu dimana kesemua 12 kelab ini akan diletakkan dalam satu kumpulan yang dinamakan sebagai Peringkat Liga Timur.

Setiap kelab akan diundi bertemu lapan buah kelab yang berbeza dengan empat perlawanan berlangsung di laman sendiri (home) dan empat lagi di tempat lawan (away).

Lapan kelab teratas dari Peringkat Liga Timur dan Barat masing-masing akan layak meneruskan kemaraan ke Pusingan 16.

Untuk makluman semua, perlawanan pertama Peringkat Liga dijadualkan berlangsung pada 16-18 September kelak.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers / Ulsan HD

Komen