Ed Sheeran Kini Pemegang Saham Minoriti Ipswich Town
August 16, 2024 Hafizuddin Omar

Penyanyi pop Inggeris, Ed Sheeran kini merupakan pemegang minoriti saham kelab yang beraksi dalam kancah Liga Perdana (PL) iaitu Ipswich Town FC.

Kelab berjulukan “The Tractor Boys” mengesahkan pembelian saham minoriti oleh penyanyi berusia 33 tahun merangkap penyokong seumur hidup kelab berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini.

Ed melakukan melengkapkan pembelian sebanyak 1.4% pegangan Ipswich Town itu menerusi syarikatnya, Gamechanger 20 Ltd.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pembelian pegangan saham itu, Ed dibenarkan untuk menggunakan “executive box” di Stadium Jalan Portman untuk jangka masa yang lama – yang telah diubah suai mengikut cita rasanya sebelum bermula musim 2024-25.

Baca: PSM Alih Rumput Zeon Zoysia Bawah Pentas & ‘Tower Speaker’ Konsert Ed Sheeran

Bagaimanapun, pihak kelab memaklumkan Ed tidak akan menyertai Lembaga Pengarah kelab memandangkan pembelian Ed hanyalah pasif dan minoriti sahaja.

Untuk makluman, sebelum ini, Ed telah menjadi penaja utama bahagian hadapan jersi skuad lelaki dan wanita Ipswich Town sejak tahun 2021.

Penajaan oleh Ed itu menyaksikan bahagian hadapan jersi Ipswich Town dihiasi dengan logo konsert jelajahnya iaitu “+–=÷× Tour” atau disebut sebagai “Mathematic Tour”.

Bukan sahaja hadir sebagai penaja di bahagian hadapan jersi, Ed turut berkolaborasi dengan Ipswich Town untuk mengeluarkan rekaan jersi ketiga bagi musim 2022-23 dan 2024-25. 

Komen