Pemilik Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) iaitu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah belajar daripada kesilapan yang dilakukan semasa penganjuran konsert Coldplay pada 22 November tahun lalu.
Ketika itu, penganjuran konsert Coldplay yang dihadiri lebih 81,812 penonton itu telah mengakibatkan sebahagian rumput zeon zoysia di padang SNBJ mengalami kerosakan terutamanya di kawasan terletaknya pentas serta menara sistem audio.
Lebih malang, kerosakan rumput di beberapa bahagian itu tidak sempat dipulihkan ke tahap optimum dan menyebabkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pada 8 Disember di atas padang yang kurang memuaskan.
Keadaan padang itu juga telah mengundang kecederaan buat bek kiri skuad kebangsaan, Corbin-ong disamping turut menimpa pemain import JDT, Shane Lowry serta pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul.
Baca – PSM: Maaf Tak Sempat Baiki Padang Selepas Konsert Coldplay
Namun begitu, kerosakan rumput zeon zoysia di padang SNBJ selepas berlangsungnya konsert penyanyi Inggeris, Ed Sheeran pada malam nanti sepertimana konsert Coldplay dijangka tidak berulang.
Ini berikutan PSM memaklumkan mengambil langkah proaktif dengan mengalihkan rumput yang berada di bawah pentas serta menara sistem audio konsert Ed Sheeran ke tempat lain agar kekal terjaga.
“PSM telah memindahkan rumput seluas 1900m2 bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema ‘world tour’ Ed Sheeran.”
“Rumput yang telah dipindahkan kini diberi penjagaan intensif termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum.” kongsi kenyataan rasmi oleh PSM pada hari ini.
Baca: Terengganu Mahu Wujudkan Nurseri Rumput Bermuda Bersebelahan SSMZA
Bukan itu sahaja, PSM turut memaklumkan bersedia untuk menggunakan rumput zeon zoysia dari tapak semaiannya yang berkeluasan melebihi 2000m2 sekiranya perlu.
Untuk makluman semua, susun atur pentas konsert Ed Sheeran ini berada di tengah-tengah padang – berbeza dengan konsert Coldplay yang berada di penghujung sebelah kanan “grandstand” SNBJ.
Menerusi kenyataan yang sama, PSM memberitahu kerja-kerja membongkar peralatan konsert akan dimulakan sejurus selepas konsert berakhir dan kerja di padang akan bermula dengan segera selepas itu.
Untuk makluman, padang SNBJ perlu berada dalam keadaan optimum kerana ianya akan menjadi venue perlawanan melibatkan skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon dan Oman bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 26 Mac kelak.
View this post on Instagram
Featured Image: Perbadanan Stadium Malaysia