‘Mondo’ Duplantis Pecah Rekod Dunia Lompat Bergalah Sekali Lagi – 6.26m
Hafiz Omar

Atlet yang mencipta rekod dunia dalam acara lompat tinggi bergalah di Sukan Olimpik Paris 2024, Armand “Mondo” Duplantis merekodkan rekod dunia yang baharu dalam acara itu semasa beraksi di Liga Berlian, Silesia, Poland.
Atlet Sweden itu mencipta rekod baharu apabila menyempurnakan lompatan setinggi 6.26 meter (m) sekitar tengah malam tadi dalam siri ke-12 Liga Berlian pada tahun ini.
Lompatan itu mengatasi rekod 6.25m diciptanya di Stade de France pada temasya Olimpik sekitar awal Ogos baru-baru ini serta membutirkan pingat emas Olimpik kedua buat atlet berusia 24 tahun tersebut.
Baca: 8 Rekod Dunia Baharu Yang Mendapat Perhatian Di Sukan Olimpik Paris 2024
Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga Mondo mencipta rekod dunia baharu dan memecahkan rekod yang dilakukannya sendiri pada tahun ini – di Sukan Olimpik dan Liga Berlian, Xiamen, China.
Sebagai tambahan, penyempurnaan lompatan 6.26m itu juga meletakkan Mondo sebagai atlet yang memegang rekod 10 lompatan tertinggi sepanjang zaman iaitu 6.26m, 6.25m, 6.24m, 6.23m, 6.22m, 6.21m, 6.20m, 6.19m, 6.18m dan 6.17m.
Untuk pengetahuan semua, atlet yang memegang rekod lompatan bergalah kedua tertinggi di dunia ialah Renaud Lavillenie dari Perancis dengan catatan 6.16m.
Rekod itu dilakukan Renaud yang kini berusia 37 tahun pada pertengahan Februari 2014 di kejohanan yang bertempat di Donetsk, Ukraine.
Featured Image: Instagram Mondo_Duplantis