
YB Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Beliau yang merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengumumkan perkara berkenaan menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya, hari ini.
Dimaklumkan keputusan itu diambil susulan Kabinet memutuskan untuk anggota pentadbiran tidak bertanding jawatan persatuan sukan.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding bertanding jawatan Presiden KLFA sambil membentangkan tiga “manifesto” yang berteraskan kepada tiga perkara iaitu kelestarian organisasi dan kewangan, pembinaan ekosistem dan menyatupadukan warga kota.
Baca: Kongres KLFA Mungkin Ditunda, Ada Siasatan SPRM
Selang beberapa minggu kemudian Nik Nazmi mengumumkan pula beberapa individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang menyertai kemnya untuk merebut jawatan-jawatan di dalam KLFA pada sesi pemilihan pada Kongres yang dijadualkan berlangsung pada 7hb September.
Walaupun menarik diri, Nik Nazmi memberitahu akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional.
Selain itu, beliau juga akan terus menaungi kelab bola sepak kelab amatur, Setiawangsa Rangers – salah satu kelab gabungan KLFA – yang diasaskannya pada 2018.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Jemaah Menteri, YB Fahmi Fadzil merangkap Menteri Komunikasi yang turut menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden KLFA belum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menarik diri, setakat artikel ini ditulis.
Featured Image: Facebook Nik Nazmi