Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih individu yang akan menggalas jawatan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan menggantikan Kim Pan-gon.
Jawatan tersebut mengalami kekosongan berikutan Pan-gon meletakkan jawatan atas alasan masalah keluarga namun selang 12 hari kemudian beliau diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Ulsan HD berpangkalan di Korea.
Pada saat ini, jawatan itu dipangku oleh penolong ketua jurulatih sebelum ini, Pau Marti sehingga berakhirnya saingan Piala ASEAN 2024 yang akan berakhir pada 5hb Januari kelak.
“Tempoh sampai bulan 12 ni tempoh yang bagus untuk kita menilai Pau Marti, kita tak boleh pandang rendah (Pau), saya dah beritahu dia dan dia memahami, ini peluang dia untuk menjadi ‘acting head coach’ dan masa inilah peluang dia untuk membuktikan (sesuatu),” katanya ketika ditemui di pejabatnya pada Khamis.
Baca: FAM Nilai Prestasi Coach Pau Selepas Selesai Piala ASEAN 2024
Pada masa yang yang sama, Hamidin turut menilai calon-calon yang difikirkannya sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut memandangkan ianya menarik minat bagaikan ‘pisang goreng panas’ daripada ramai jurulatih dari luar.
“Tetapi dalam proses itu, memang saya tengah melihat (calon-calon) lain,”
“Sebenarnya banyak ketua jurulatih menghubungi kita setelah pemergian Kim Pan-gon, banyak nama-nama besar,”
“Park Hang-seo salah satu,” tambahnya lagi.
Bercakap mengenai kriteria pemilihan untuk melantik ketua jurulatih baharu bagi skuad Harimau Malaya, Hamidin mahukan individu yang arif dengan kancah bola sepak rantau asia tenggara dan benua asia – kriteria yang sama ditetapkannya ketika memilih dan melantik Pan-gon pada penghujung Januari 2022.
“Kita kena ambil jurulatih yang memahami tentang kualiti pemain kita yang ada dan musuh kita, ASEAN dan asia,”
“Kita bukan nak lawan Brazil, Jerman dan lain-lain, kita tak sampai lagi level (tahap) itu,”
“Orang itu (jurulatih) mestilah memahami tentang (kemampuan) individu pemain-pemain kita dan dia memahami tentang musuh kita, dan (kejohanan) AFF serta Piala Asia khususnya pusingan kelayakan (Piala Asia) tahun hadapan,”
“Coach ni mesti ada knowledge (pengetahuan) ini,”
“Ada ramailah (calon-calon), saya akan shortlisted (senarai pendekkan), dapatkan semua orang untuk analisakan, kita tunggu prestasi Pau Marti macam mana,” tambahnya lagi.
Featured Image: Football Association of Malaysia