
Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin menepis ura-ura bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebaliknya Hamidin berkata beliau akan terus menyandang jawatan No.1 bagi badan induk bola sepak negara itu sehingga tamat penggal 2021-2025.
Beliau menyedari terdapat suara-suara yang melaungkan agar dirinya meletakkan jawatan berikutan pelbagai perkara melanda FAM akhir-akhir ini.
Namun begitu, Hamidin menegaskan beliau dan barisan kepimpinan telah melakukan yang terbaik untuk bola sepak Malaysia bagi penggal ini.
“Orang yang suruh letak jawatan ni adalah netizen atau penyokong tetapi saya ada disiplin, kita ada struktur, kita ada masanya untuk kita nak letak jawatan, jadi, cukup saya mengatakan bahawa saya dan barisan (kepimpinan) saya dah buat yang terbaik,”
“…tapi kena ingat, nak jadi presiden FAM bukan (menguruskan) skuad kebangsaan sahaja, (ada) bola sepak wanita, futsal dan banyak lagi perkara yang perlu dilihat selain dari pejabat baharu kita, national training centre (NTC), komitmen kita dengan kerajaan, dengan FIFA dan AFC,” katanya ketika ditemui dalam sidang media khas di Wisma FAM pada Khamis.

Baca: Pan-gon Letak Jawatan, Tak Wajar Salahkan Hamidin – Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis
Tambah Hamidin lagi, pihaknya akan mengumumkan tarikh berlangsungnya kongres yang akan berjalan serentak dengan pemilihan baharu kepimpinan FAM dalam masa terdekat.
Apabila tarikh kongres telah diumumkan kelak, beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terbuka sekiranya sesiapa mahu bertanding merebut jawatan tersebut.
Bukan itu sahaja, Hamidin juga berlapang dada sekiranya ditolak dan tidak dipilih oleh ahli-ahli gabungan untuk menerajui FAM pada penggal yang berikutnya.
“Kedua, pihak saya telah berbincang dengan beberapa pegawai tertinggi, tempoh (penggal) kita dah nak habis, tempoh kita sehingga tahun depan, jadi, kita pun dalam masa terdekat akan umumkan kongres pemilihan kita, masa tu sesiapapun nak bertanding, tak kisahlah,”
“Kalau orang nak saya, diorang pilih saya, kalau orang tak nak saya, saya sedia berundur, itu small matter, yang penting saya buat ni untuk negara saya, orang boleh tengok dengan rekod apa yang ada dengan saya, itu sahaja, tapi kalau orang yang tak suka dengan kita tu dia tetap tak sukalah,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, Hamidin mula memegang peranan selaku Presiden FAM bermula penggal 2018-2021 sebelum mempertahankan jawatan itu pada penggal 2021-2025.
Untuk makluman, Hamidin juga merupakan Presiden FAM yang ketujuh sejak 1951 dan menjadi individu pertama dari kalangan orang biasa menjawat jawatan berkenaan selepas enam presiden terdahulu merupakan kalangan Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan Kerabat Diraja.