Bekas ketua jurulatih yang membimbing Vietnam muncul juara Piala AFF, mara ke suku akhir Piala Asia dan layak ke pusingan 3 kelayakan Piala Dunia iaitu Park Hang-seo tidak memohon untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.
Ejennya, Lee Dong-jun mengesahkan kliennya, Hang-seo ada bercakap dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin namun perbualan itu meliputi pelbagai topik dan tidak melibatkan mengisi jawatan ketua jurulatih skuad berjulukan Harimau Malaya.
“Tidak benar sama sekali yang mendakwa Coach Park memohon jawatan untuk mengemudi skuad kebangsaan malaysia,” kata Dong-jun sepertimana dipetik daripada VnExpress.
“Kenyataan sebegitu mencemarkan reputasi Coach Park. Sebagai wakil kepada jurulatih-jurulatih dan pemain-pemain, saya telah mengadakan perbincangan dengan ramai presiden persatuan bola sepak seluruh dunia, termasuk Datuk Hamidin Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia,”
Baca: Kita Bukan Nak Lawan Brazil Atau Jerman, Kita Tak Sampai Tahap Itu Lagi – Hamidin
“Bagaimanapun, perbincangan kami merangkumi pelbagai topik dan kami tidak berbincang untuk memohon jawatan ketua jurulatih Malaysia,” tambahnya lagi.
Pada Khamis lalu dalam satu sidang media khas, Hamidin mendedahkan ramai jurulatih-jurulatih menghubunginya selepas Kim Pan-gon mengumumkan meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya atas alasan peribadi.
Menurut Hamidin, antara salah seorang yang menelefonnya ialah Hang-seo yang kini berusia 66 tahun.
“Sekiranya Malaysia berminat dengan Coach Park, mereka perlu membuat tawaran kepada saya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah saya berbincang dengan Coach Park mempertimbangkannya,” ujarnya.
Untuk makluman semua, Hang-seo kini tidak berperanan sebagai ketua jurulatih buat mana-mana kelab mahupun pasukan selepas kontraknya bersama Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) tamat pada 31 Januari 2023.
Setakat ini beliau hanya memegang jawatan sebagai penasihat bagi kelab divisyen dua Vietnam, Bac Ninh FC.
Featured Image: Football Association of Malaysia