Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou bakal menerima ganjaran sebanyak RM1 juta daripada pihak kerajaan hasil merangkul pingat emas Paralimpik 2024 sekaligus bergelar jutawan.
Ganjaran itu akan diberikan oleh kerajaan kepada Liek Hou sepertimana dijanjikan, demikian perkongsian daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Bukan itu sahaja, atlet berusia 36 tahun terbabit turut diberikan wang tunai sebanyak RM5,000 setiap bulan sepanjang hayat menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SITO).
Baca: Filem ‘GOLD’ Inspirasi Cheah Liek Hou Rangkul Emas Paralimpik Ditayangkan 4 Julai
Pengumuman insentif itu diumumkan dan dikongsikan oleh Hannah menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Liek Hou berjaya membutirkan pingat emas tersebut selepas berjaya menumpaskan pemain Indonesia, Suryo Nugroho dalam perlawanan akhir kategori perseorangan lelaki SU5 (kecatatan fizikal).
Suryo terpaksa akur dengan kehebatan Liek Hou apabila tumpas secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena sekitar tengah malam tadi.
Untuk makluman, ini merupakan pingat emas Paralimpik kedua dalam kariernya selepas merangkul buat julung kalinya pada edisi lalu, Paralimpik 2020 Tokyo.
Sementara itu, Eddy Bernard, atlet kelahiran Beluran, Sabah, yang berhasil meraih pingat gangsa dalam acara larian 100 meter (m) T44 (kecacatan fizikal) di temasya yang sama diberikan ganjaran RM100,000 elaun bulanan berjumlah RM2,000 – sama seperti diraih oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik.
Featured Image: Facebook Hannah Yeoh