Pemberian RM15 Juta PM Anwar Kepada Harimau Malaya Dapat Ucapan Tahniah Daripada Tim Cahill
September 3, 2024 Hafizuddin Omar

Pengumuman mengenai pemberian peruntukan sebanyak RM15 juta oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada skuad bola sepak kebangsaan iaitu Harimau Malaya mendapat ucapan tahniah daripada Tim Cahill.

Pemain yang menyarung jersi skuad kebangsaan Australia dari 2004 hingga 2018 dan beraksi dalam empat edisi Piala Dunia FIFA merakamkan ucapan tahniah terbabit menerusi akaun Instagram peribadinya, petang tadi.

Congratulations Malaysian football (tahniah bola sepak Malaysia),” tulisnya ringkas sambil menempel @hrhcrownprinceofjohor – akaun Instagram peribadi Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail.

Baca: PM Umum Peruntukan RM15 Juta, Tunku Ismail Beri Bayangan Harimau Malaya Bakal ‘Diswastakan’? 

Muat naik menerusi Instagram Story itu turut menyertakan tangkap layar berita yang ditulis oleh portal berita dwibahasa tempatan, Free Malaysia Today (FMT) bertajuk “PM announces RM15mil allocation for Harimau Malaya”.

Untuk makluman, Tim beraksi lama sebagai pemain Everton dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) dari 2004 hingga 2012 turut serta ketika Tunku Mahkota Ismail menerima mengadap Anwar untuk membincangkan pelbagai isu-isu terkini termasuk berkaitan bola sepak Malaysia pada 23hb Ogos – sehari sebelum perlawanan akhir Piala FA 2024-25.

Pada hari yang sama, Tim yang kini menjawat jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dan Ketua Pegawai Sukan Akademi Aspire – sebuah akademi berpangkalan di Qatar – turut mengikuti Tunku Mahkota Ismail melakukan kunjungan dan bertemu Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John di AFC House, Bukit Jalil.

Selang tiga hari selepas JDT menjulang trofi Piala FA 2024-25, Tim dilihat melawat Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri dan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam bersama-sama bekas pemain skuad kebangsaan England, Dennis Wise serta Pengarah & Pemegang Saham Barnsley FC, Julie Anne Quay.

Komen