Cristiano Ronaldo Muncul Pemain Bola Sepak Pertama Kumpul 900 Gol
September 6, 2024 Hafizuddin Omar

Penyerang skuad kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo memahat rekod dan sejarah baharu dalam arena bola sepak dunia apabila muncul selaku pemain lelaki pertama menjaringkan 900 gol dalam perlawanan rasmi.

Pemain berusia 39 tahun terbabit menjaringkan gol ke-900 tersebut ketika turun mewakili Portugal menentang Croatia dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Jaringan tersebut dihasilkannya menerusi satu “tapping” di dalam kotak penalti pada minit ke-34 selepas menerima hantaran lintang jauh dari sebelah kiri oleh Nuno Mendes.

Seusai sahaja menjaringkan gol tersebut, Ronaldo berlari ke arah kanan pada meraikan golnya sebelum melutut dan bersujud ke bumi dalam keadaan gembira bercampur terharu.

Baca: Ronaldo Ungguli Senarai Atlet Berpendapatan Tinggi 2024 Oleh Forbes

View this post on Instagram

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)

Jaringannya itu adalah yang kedua buat Portugal sebelum perlawanan yang berlangsung di Estadio da Luz berakhir dengan keputusan 2-1.

Sebagai rekod, itu merupakan jaringannya yang ke-131 bersama Portugal sejak melakukan debutnya bersama skuad senior pada 20hb Ogos 2003 menentang Kazakhstan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Sementara itu, jumlah jaringannya pada peringkat kelab adalah berjumlah 769 dilakukan ketika beraksi bersama Sporting Lisbon (5), Manchester United (145), Real Madrid (450), Juventus (101) dan Al Nassr (68).

Kejayaan nya mengumpul 900 gol itu turut mendapat perhatian dan penghargaan daripada dua bekas kelabnya Sporting Lisbon dan Real Madrid.

Featured Image: Selecoes de Portugal

Komen