
Skuad bola sepak kebangsaan berjaya menjulang trofi pertama di bawah teraju Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2018.
Trofi pertama itu diperoleh skuad berjulukan Harimau Malaya susulan meraih kejuaraan Pesta Bola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada hari ini.
Harimau Malaya bimbingan Pau Marti menjulang trofi berkenaan dengan menumpaskan Lubnan yang menghuni ranking ke-116 dunia dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan akhir, sebentar tadi.
Baca: Presiden FAM Kini Bergelar Tan Sri, Kurniaan YDP Agong

Penyerang naturalisasi kelahiran Colombia, Romel Morales menyumbangkan kemenangan tersebut menerusi jaringan tunggalnya pada minit ke-33 permainan hasil lorongan oleh Endrick dos Santos.
Untuk rekod, ini juga merupakan kejuaraan Pesta Bola Merdeka yang pertama dirangkul semula oleh Malaysia menerusi skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) selepas menjuarainya pada 11 tahun yang lalu.
Sebelum ini, Harimau Malaya terlepas peluang untuk menjulang tiga trofi apabila tewas dalam perlawanan akhir Piala AFF 2018, King’s Cup 2022 dan Pesta Bola Merdeka 2023.
Sementara itu, juara bertahan edisi lalu, Tajikistan muncul pemenang tempat ketiga setelah berhasil menumpaskan Filipina menerusi penentuan sepakan penalti menerusi skor 4-3 setelah seri tanpa sebarang jaringan dalam tempoh 90 minit.
Featured Image: Football Association of Malaysia