Ada Padang Lebih Baik Di Malaysia Berbanding Stadium Cheras – Noor Al-Rawabdeh
September 9, 2024 Hafizuddin Omar

Mempunyai beberapa pemain yang beraksi dan pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia bukanlah satu kelebihan buat skuad kebangsaan Jordan, ranking ke-68 dunia, pada pertemuan menentang Palestin dalam Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

Penafian itu dilontarkan sendiri oleh pemain tengah Jordan yang beraksi di Malaysia bersama Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh.

Selain Noor, Jordan turut diperkuatkan dengan kehadiran dua lagi pemain Gergasi Merah, Reziq Banihani dan Ali Olwan serta Yazan Al-Arab dan Mahmoud Al-Mardi yang turut pernah menyarung jersi Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC masing-masing.

Menurut pemain berusia 27 tahun ini, Palestin yang menghuni ranking ke-96 dunia pada ketika ini mendapat lebih manfaat dengan memilih Kuala Lumpur sebagai venue tuan rumah bagi perlawanan kedua peringkat Kumpulan B ini.

“Bermain di Malaysia merupakan satu kelebihan besar buat Palestin berbanding kami kerana Palestin telah berada di sini lebih dari seminggu, sejak sebelum perlawanan menentang Korea,”

“Ini bermakna mereka telah melakukan persiapan lebih daripada kami untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Malaysia,” katanya dalam sidang media praperlawanan pada hari ini.

Baca: Dimana Mousa Al-Tamari Ketika Berusia 20 Tahun?

Sebagai rekod, Palestin telah memulakan sesi latihannya di Kuala Lumpur sejak 27hb Ogos lalu sebelum terbang ke Seoul untuk menghadapi Republik Korea pada aksi pertama peringkat Kumpulan B pada 5hb September lalu.

Ketika bertemu Republik Korea yang dibarisi pemain-pemain bertaraf bintang yang beraksi di eropah, Palestin yang julung kalinya layak ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia berhasil mengikat mereka tanpa sebarang jaringan sekaligus mencuri satu mata pada aksi pembukaan tersebut.

Pada masa yang sama, Noor sempat menempelak mengenai pemilihan Stadium Cheras sebagai venue tuan rumah buat Palestin kerana terdapat banyak stadium lain dalam negara ini yang mempunyai kualiti padang yang lebih baik.

“Sebagai seorang yang tinggal dan bermain di Malaysia, terdapat banyak padang yang lebih baik di Malaysia berbanding padang ini (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras) yang dipilih untuk perlawanan ini,” tambahnya.

Terdahulu, Jordan bimbingan Jamal Sellami dari Maghribi memulakan kempen Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Kuwait yang berada di ranking ke-136 dunia.

Jordan juga sedikit tempang menjelang aksi menentang Palestin berikutan kehilangan khidmat pemain bintangnya yang beraksi di Ligue 1 bersama Montpellier HSC, Mousa Al-Tamari ekoran ditimpa kecederaan.

Untuk makluman semua, sepak mula antara Palestin dan Jordan dijadualkan pada jam 10 malam pada Selasa (10hb September). 

@sukanzcom

Persiapan akhir padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang akan menjadi venue bagi pertembungan Palestin menentang Jordan dalam Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026. Sepak mula perlawanan ini dijadualkan pada jam 10 malam esok (Selasa, 10 September). #sukanditiktok

♬ Epic Music(873721) – Pavel

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen