Skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) akan menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang rasminya atau “home” apabila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kesebelas Liga Super 2024-25.
Ini susulan skuad berjulukan Kijang Emas mengumumkan telah mengemukakan permohonan rasmi kepada penganjur, Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan stadium milik JDT itu sebagai venue tuan rumahnya atau “home”, pada hari ini.
Menurut Presiden KDN FC, YB Rozi Muhamad berkata pihaknya telah mendapat persetujuan bersama dengan JDT berhubung perubahan venue terbabit. Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu kebenaran daripada MFL berhubung perkara ini.
“Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI.” katanya seperti dikongsikan pada platform media sosial milik KDN FC.
Baca: SSMIV Tambah Baik Sistem Saliran & Perparitan – Peruntukan RM500,000 KBS
Untuk makluman semua, gelanggang rasmi KDN FC, Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) tidak boleh digunakan buat sementara waktu berikutan sedang menjalankan proses naik taraf saliran dan perparitan.
Kerja-kerja naik taraf yang menggunakan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dijangka siap pada pertengahan bulan kelak.
Sebagai tambahan, aksi KDN FC yang menghuni tangga tercorot Liga Super menentang JDT tersebut akan berlangsung pada 22hb September (Ahad).
Featured Image: JOHOR Southern Tigers