Gaji Siling? Kita Tak Boleh ‘Copy Paste’ Daripada Liga Lain – CEO MFL
September 13, 2024 Hafizuddin Omar

Kebelakangan ini pemain, jurulatih dan staf kelab-kelab bola sepak di Malaysia yang mengalami kelewatan mendapat gaji atau lebih teruk, tidak dibayar gaji oleh majikan masing-masing semakin kerap dilaporkan oleh media-media tempatan.

Menjengah ke pelbagai platform media sosial, para peminat dan penyokong bola sepak tempatan berpandangan isu ini tidak dapat diubati atau dicegah berikutan tiadanya peraturan gaji siling (salary cap) sebagaimana diamalkan LaLiga (Sepanyol) dan Major League Soccer (Amerika Syarikat).

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) yang baharu, Giorgio Pompili Rossi tidak menolak idea gaji siling tersebut namun untuk melaksanakannya terhadap Liga Malaysia memerlukan penelitian yang lebih terperinci.

“Saya fikir kita boleh ambil inspirasi daripada liga-liga lain tetapi saya percaya setiap liga seharusnya membuat (peraturan) yang tersendiri, bukannya ‘copy paste’ (salin dan tampal), sangat sukar untuk melaksanakannya,”

“Mengapa? Kerana setiap negara berbeza antara satu sama lain dalam pelbagai aspek yang melangkaui bola sepak,” 

“Pada pendapat saya, ya, kita perlu berkongsi dengan liga-liga lain, dapatkan beberapa maklumat, dan selepas itu kita dapat membina sistem kita yang tersendiri,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Media Bersama CEO MFL di Petaling Jaya, pagi tadi.

Pada masa yang sama, Giorgio yang sebelum ini berperanan sebagai Delegasi LaLiga di Thailand turut mendedahkan liga-liga lain terutamanya di rantau asia tenggara turut berhadapan masalah-masalah yang hampir sama dengan Liga Malaysia.

Baca: Bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Ganti Stuart Sebagai CEO MFL

Namun ianya tidak dicanang sebagaimana masalah-masalah yang dihadapi dalam Liga Malaysia kerana orang ramai tidak membaca atau mengikuti laporan daripada media-media di negara lain.

“Semua liga menghadapi masalah (masing-masing), kita hanya baca berita (berkenaan) Malaysia, kita tak baca berita Thailand, kita tak baca berita Vietnam, banyak perkara yang berlaku di sini turut berlaku (di liga lain), situasinya tidak banyak berbeza,” tambahnya lagi.

Akan tetapi, Giorgio yang pernah bekerja di negara ini  dari 2017-2021 sebagai Delegasi LaLiga di Malaysia sedar akan masalah melibatkan kewangan yang menimpa kelab-kelab bola sepak di Liga Malaysia dan masalah itu menjadi fokus utamanya dalam masa terdekat sebagai CEO MFL.

Komen