Sebuah liga bola sepak berpangkalan di Kepulauan Borneo, Liga Borneo, untuk ditandingi kelab-kelab dari Sarawak dan Sabah perlu diadakan, demikian saranan daripada bekas Presiden Machan FC, Azizi Fauzi.
Sebagai permulaan, saingan itu boleh dimulakan dengan penyertaan lapan hingga sepuluh buah kelab dengan turut menjemput kelab-kelab dari Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
“Wujudkan segera Liga Borneo, banyak pemain dari Sabah dan Sarawak yang berbakat tetapi tidak ada platform untuk merek pergi jauh.”
“Begitu juga dengan nasib jurulatih tempatan, ada yang berkelayakan, tetapi tidak ada tempat untuk mereka. Kita pun mahu orang tempatan kita naik, bukannya kita import pemain dari semenanjung dan bayar mereka mahal-mahal hingga puluhan ribu tetapi pemain tempatan dibayar sedikit.” katanya.
Baca: Premier Sarawak Cadang Anjur Semula Sukan Borneo
Saranan itu dilontarkannya kira-kira sehari selepas Machan FC mengumumkan menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro dan mengumumkan perletakan jawatannya pada sebelah malamnya.
Terdahulu, Machan FC yang dinaungi dan dimiliki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, YB Allen Siden Gramong memutuskan untuk menarik diri daripada Liga A1 Semi-Pro berikutan kekangan dana disamping kos penerbangan yang semakin meningkat naik.
Sebelum mengumumkan penarikan diri, Machan FC sempat beraksi 12 perlawanan dan mencetak dua kemenangan serta dua seri sekaligus menghuni tangga ke-13 daripada 15 pasukan yang bertanding musim ini.
Dimaklumkan, Machan FC juga telah cuba untuk memohon dana daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak bagi menyelesaikan masalahnya.
Namun pihaknya akur dengan jawapan Menteri yang bajet kementerian tidak merangkumi penajaan untuk kelab-kelab yang dilihat bertaraf semi profesional.
Dalam satu hantaran yang berlainan, Machan FC memaklumkan sedia dikenakan denda oleh penganjur, Amateur Football League (AFL) susulan penarikan diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro.
Pada masa yang sama, Machan FC menegaskan kelab tersebut tidak akan berkubur dan akan terus bergiat aktif di peringkat tempatan.
Featured Image: Amateur Football League