Penganjuran Sukan Komanwel 2026 di Glasgow semakin hampir menjadi kenyataan apabila kerajaan Scotland mengumumkan sokongan terhadap penganjuran temasya tersebut secara rasmi pada Selasa.
Menerusi satu kenyataan, kerajaan Scotland telah menulis surat sokongannya kepada Sukan Komanwel Scotland (CGS) menyokong cadangan mereka untuk menjadi hos bagi Sukan Komanwel Edisi Ke-23 tersebut.
Pada April lalu, CGS telah mencadangkan perincian penganjuran Sukan Komanwel yang inovatif, keberkesanan kos dan berkonsepkan mampan yang menyaksikan temasya itu dikecilkan skala penganjurannya tetapi berkualiti tinggi dengan anjuran tanpa pendanaan awam serta menggunakan fasiliti sedia ada.
Sejak itu, CGS telah membangunkan pelan penganjuran bersama Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) serta pemegang taruh yang lain – termasuk kedua-dua Kerajaan Scotland dan United Kingdom (UK) – untuk memastikan tahap tertinggi pertandingan Sukan Komanwel dapat dicapai dalam bajet yang ditetapkan.
Sepatutnya, Sukan Komanwel 2026 dianjurkan oleh Victoria, Australia namun kerajaan tempatan di situ mengumumkan keputusan untuk menarik diri pada pertengahan Julai 2023.
Susulan penarikan diri itu, CGF telah menawarkan peluang kepada negara-negara anggota Komanwel termasuk Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi temasya tersebut dengan suntikan kewangan sebanyak £100 juta.
Baca: Kerajaan Malaysia Tolak Tawaran Anjur Sukan Komanwel 2026
Bagaimanapun, sekitar penghujung Mac lalu Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak menerima tawaran berkenaan atas alasan suntikan kewangan itu tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar selain impak ekonomi yang tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat.
Selain Malaysia, negara seberang tambak iaitu Singapura turut tidak melakukan bidaan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 setelah mengkaji kebolehlaksanaan penganjuran temasya tersebut.