Badan induk bola sepak negara seberang tambak iaitu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengakui usahanya pada 2023 untuk mengembangkan Liga Premier Singapura (SPL) tidak berjaya.
Namun begitu, Bernard Tan yang menduduki kerusi Presiden FAS sejak September 2023 berikrar untuk memperbaharui usaha tersebut pada suku terakhir pada tahun ini.
Usaha mengembangkan liganya itu termasuk untuk menjemput sekurang-kurangnya sebuah kelab dari luar negara supaya dapat menggenapkan penyertaan SPL 2025-26 kepada 10 buah kelab.
Selain itu, Bernard turut melihat usaha untuk menjemput kelab luar negara untuk menyertai liga domestiknya dapat meluaskan pangkalan peminat dan meningkatkan nilai komersial.
Baca: Liga Singapura Dijalankan Empat Pusingan Untuk Tingkatkan Tahap Kompetitif
Baca: Peminat Singapura Bangkang JDT III Sertai Singapore Premier League
“Tujuan utama untuk membesarkan liga adalah untuk menjadikannya lebih menarik. Lebih banyak pasukan akan membuatkan liga lebih rancak,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres FAS Kali Ke-42 baru-baru ini.
Ketika ini, saingan SPL 2024-25 disertai oleh sembilan buah kelab selain disertai sebuah kelab dari Brunei Darussalam iaitu DPMM FC dan sebuah kelab satelit dari Jepun, Albirex Niigata Singapore FC.
Menurut laporan CNA, Presiden FAS mendedahkan akan meletakkan pelawaan “Request For Proposal” (RFP) pada awal bulan Oktober untuk sebarang kelab tempatan serta luar negara memohon menyertai SPL.
Sebagai rekod, FAS telah pun melancarkan RFP untuk menjemput kelab-kelab yang berminat untuk menyertai SPL pada Disember tahun lalu.
Antara butiran yang perlu disertakan dalam RFP terbabit adalah pengenalan mengenai kelab, pemilikan dan pengurusan kelab, gelanggang rasmi dan pusat latihan kelab, pelan kewangan kelab, pengrekrutan pemain dan pembangunan remaja, struktur kejurulatihan dan teknikal kelab serta pelan keterlibatan penyokong dan pemasaran kelab.