FIFA Maklumkan Mats Deijl Tak Layak Sertai Skuad Harimau Malaya
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya Harimau Malaya tidak dapat menggunakan khidmat pemain kelahiran Belanda yang dikhabarkan mempunyai darah keturunan Malaysia iaitu Mats Deijl.
Terdahulu, pemain yang beraksi bersama Go Ahead Eagles ini telah menunjukkan minat untuk mewakili skuad kebangsan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah dimaklumkan mengenai darah keturunan Malaysianya.
Oleh demikian, sejak dari 27hb Jun, FAM telah menghubungi kelab, ejen dan pemain tersebut secara rasmi bagi membincangkan mengenai kelayakannya untuk mewakili Harimau Malaya yang kini di bawah bimbingan Pau Marti.
Berdasarkan dokumen-dokumen susur galur yang dikongsikan pemain berusia 27 tahun terbabit, Mats disahkan mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia melalui moyangnya (ibu kepada datuknya) yang lahir di Singapura pada 24 Jun 1893 – ketika itu Singapura sebahagian daripada Tanah Melayu.
Baca: Pertahanan Belanda-Malaysia, Mats Deijl Dalam Proses Sertai Harimau Malaya
Menurut syarat FIFA, mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika lahir di negara tersebut, atau, ibu pemain dan bapa pemain lahir di negara tersebut, atau, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut, atau, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.
Oleh demikian, situasi Mats terbabit membuatkannya tidak layak untuk mewakili Harimau Malaya selari dengan surat yang dihantar oleh FIFA bertarikh 25hb September disebabkan darah keturunan Malaysianya adalah daripada moyangnya dan bukan di peringkat datuk atau nenek.
Walaupun tidak layak untuk beraksi bersama Malaysia, FAM mengucapkan terimakasih kepada Mats atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Difahamkan, FAM turut berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA.
Featured Image: FAM