Harimau Malaya Main 1 Perlawanan Antarabangsa Tier 1 Sahaja Pada Oktober
October 3, 2024 Hafizuddin Omar

Hasrat skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya untuk mengutip seberapa banyak yang boleh mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia FIFA sedikit terjejas.

Ini berikutan skuad bimbingan Pau Marti hanya beraksi dalam satu sahaja Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA dari 7hb hingga 15hb Oktober kelak.

Aksi tunggal tersebut adalah menentang pasukan yang menghuni ranking ke-95 dunia pada Isnin, 14hb Oktober bertempat di Stadium North Harbour, Auckland sepertimana disiarkan dalam kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini.

Tiada sebarang Perlawanan Antarabangsa Tier 1 tambahan yang akan dihadapi oleh Harimau Malaya selain daripada aksi menentang New Zealand yang berjulukan All Whites tersebut.

Baca: Pau Marti Panggil 3 Muka Baharu Hadapi New Zealand

Bagaimanapun, menurut sumber, Harimau Malaya berkemungkinan akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan yang akan berlangsung secara tertutup sebelum daripada pertembungan menentang New Zealand.

Sebagai rekod, Harimau Malaya kini berada di ranking ke-132 dunia dengan pungutan 1,117.64 mata.

Pada saat ini, Harimau Malaya sedang berusaha untuk merampas kedudukan India dalam Balang 1, ranking ke-126 dunia, 1,133.52 mata, sebelum berlangsungnya sesi undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027 pada Disember kelak.

Untuk makluman semua, India akan turun berhadapan Vietnam (ranking ke-116) dan Lubnan (ranking ke-114) pada 9hb dan 12hb Oktober masing-masing.

Komen