Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak kisah mengeluarkan duit sehingga RM200,000 sebulan untuk menggajikan mana-mana individu sebagai ketua jurulatih bagi skuad bola sepak kebangsaan.
Bagaimanapun, individu tersebut mestilah dapat mengemudi skuad kebangsaan yang berjulukan Harimau Malaya itu ke tahap yang lebih tinggi, kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanyakan oleh pihak media samada FAM bersedia atau tidak untuk memenuhi permintaan gaji mahal oleh mana-mana individu yang ingin mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan terutamanya Park Hang-seo.
“Kita bukan (bercakap) soal gaji, kita nak sekarang ni jurulatih yang mampu bawa kita ke satu tahap lain,”
“Kalau kita ada yang bergaji RM100,000 tak boleh bawa kemana lebih baik bayar gaji RM200,000 tapi boleh bawa kita jauh, itu sahaja,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, pada hari ini.
Baca: PM Minta FAM Sediakan KPI, RM15 Juta Termasuk Skuad B-23
“Sebabnya kita kena berbelanja juga, skuad kebangsaan ni kita kena berbelanja banyak, sekarang ini kita lihat beberapa (individu) telah menunjukkan minat untuk membantu pasukan negara, untuk mendapatkan keputusan yang baik, mahu tidak mahu, kita kena berbelanjalah,” tambahnya lagi.
Pada ketika ini, Yusoff mendedahkan seramai tiga hingga empat orang individu termasuk Hang-seo yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam berminat untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, FAM sedang memberikan peluang kepada Pau Marti yang kini bertindak sebagai pemangku ketua jurulatih untuk menunjukkan kemampuannya mengemudi Harimau Malaya sehingga berakhirnya saingan Piala ASEAN (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) pada 5hb Januari tahun hadapan.
Pada September lalu, Pau berhasil memulakan penjelajahannya bersama skuad Harimau Malaya dengan langkah kanan apabila melakar kemenangan ke atas Filipina dan Lubnan sekaligus muncul juara Pesta Bola Merdeka 2024.